CIMB bekerjasama dengan NGO percepatkan sumbangan kepada komuniti kurang dapat kemudahan, barisan hadapan

CIMB bekerjasama dengan NGO percepatkan sumbangan kepada komuniti kurang dapat kemudahan, barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 16 April — CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd melancarkan inisiatif untuk membolehkan orang ramai menyumbang kepada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu komuniti tempatan yang kurang mendapat kemudahan dan barisan hadapan semasa krisis COVID-19.

Pelanggan dan bukan pelanggan boleh menyumbang secara langsung kepada NGO itu melalui portal pendanaan awam amal bank tersebut, CIMB Cares.

Pelanggan bank juga boleh menyumbang dengan menebus mata bonus perbankan atau kad kredit mereka secara dalam talian dari sekarang hingga 30 Jun, menurut kumpulan perbankan itu dalam kenyataan.

Dengan melayari laman web CIMB Cares, orang ramai boleh menyumbang kepada empat NGO, iaitu Budimas Charitable Foundation, Befrienders Kuala Lumpur, Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Johor Bahru dan Pure Life Society.

Bagi penebusan mata bonus, pelanggan CIMB boleh memilih mana-mana enam NGO yang mengambil bahagian: Lost Food Project, Al-Ikhlas Hope Society, Kita Bantu Kita, Pertubuhan Kebajikan Sedulur, Project Wawasan Rakyat, dan Persatuan Care Selangor.

Pengerusi CIMB Group Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen kumpulan untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi krisis ini dan membina semula kehidupan mereka selepas COVID-19.

“Kami yakin ini adalah langkah yang bermakna untuk memberi kemudahan dan fleksibiliti kepada pelanggan kami yang ingin menyumbang kepada kumpulan masyarakat kita yang memerlukan melalui rakan NGO kami yang dipercayai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata semua sumbangan akan disalurkan sepenuhnya secara langsung kepada NGO yang mengambil bahagian, berikutan pemindahan tidak akan dikenakan sebarang kos.

Setakat ini, CIMB telah menyumbang lebih RM2.4 juta untuk menyokong inisiatif berkaitan COVID-19 termasuk sumbangannya kepada Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) (GDRN).

CIMB, melalui Yayasan CIMB, turut bekerjasama dengan NGO untuk mengagihkan makanan dan bekalan kepada kira-kira 29,000 orang.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )