CIMB sertai usaha PBB tingkat pelaburan swasta dalam pembangunan mapan

CIMB sertai usaha PBB tingkat pelaburan swasta dalam pembangunan mapan

KUALA LUMPUR,. CIMB Group Holdings Bhd beserta 29 lagi peneraju perniagaan global, telah berikrar untuk bekerjasama bagi tempoh dua tahun berikutnya dalam usaha memenuhi objektif Pakatan Pelabur Global Bagi Pembangunan Mapan (GISD).

Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB berkata GISD merupakan satu inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membolehkan dana mencecah bertrilion-trilion dolar Amerika Syarikat daripada sektor swasta digunakan bagi membiayai Matlamat Pembangunan Mapan.

Menurut CIMB, dalam tempoh dua tahun tersebut, kumpulan itu akan melaksanakan penyelesaian untuk menawarkan peluang kewangan dan pelaburan jangka panjang membabitkan pembangunan mapan di peringkat syarikat dan sistem menyeluruh; menggerakkan sumber tambahan yang amat diperlukan negara dan sektor terbabit; mengenal pasti kaedah untuk meningkatkan kesan positif aktiviti perniagaan dan menyelaraskan amalan perniagaan dengan Agenda Pembangunan Mapan 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata langkah menjadi sebahagian daripada Pakatan GISD itu turut menepati komitmen bank tersebut terhadap Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar PBB Bagi Prinsip Perbankan yang Bertanggungjawab dan membolehkannya meningkatkan usaha menambah pelaburan dalam projek-projek pembangunan mapan.

“Kami berbesar hati dapat menyertai 29 lagi syarikat global lainnya untuk memperjuangkan pembangunan mapan di serata dunia,” kata beliau.

Pakatan GISD yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PBB, António Guterres dan dilancarkan di New York pada 16 Oktober lepas, turut dipengerusikan bersama oleh CEO Allianz Oliver Bäte dan CEO Bursa Saham Johannesburg Leila Fourie.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )