COP28: Singapura mampu main peranan utama jana pembiayaan AS$3 trilion capai pelepasan sifar bersih Asia Pasifik 2050

COP28: Singapura mampu main peranan utama jana pembiayaan AS$3 trilion capai pelepasan sifar bersih Asia Pasifik 2050

SINGAPURA,. Singapura sebagai pusat kewangan antarabangsa mampu memainkan peranan penting dalam menjana pembiayaan kira-kira AS$3 trilion (AS$1=RM4.66) yang diperlukan setiap tahun bagi rantau Asia Pasifik mencapai matlamat pelepasan sifar bersih menjelang 2050, kata Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS).

“Pelan tindakan kami untuk pelaksanaan pendekatan itu ialah Pelan Tindakan Kewangan Sifar Bersih yang dilancarkan oleh MAS dengan kerjasama industri kewangan.

“Ia bertujuan menjana kewangan untuk memangkin peralihan sifar bersih Asia,” kata Pengarah Urusan MAS Ravi Menon dalam ucapan perasmiannya pada pelancaran COP28 Singapore Pavilion Expo City di Dubai.

Teks ucapan beliau diedarkan kepada pihak media di sini.

COP28 atau Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) bermula hari ini sehingga 12 Dis 2023.

Menon menyatakan terdapat dua mekanisme pembiayaan yang mampu memainkan peranan penting dalam menyokong penyelesaian penyahkarbonan.

Mekanisme pertama ialah “kewangan gabungan” yang menghimpunkan pelbagai rakan kongsi daripada sektor awam dan swasta untuk menyumbang dalam cara yang berbeza dan sinergistik untuk menjadikan projek hijau dan peralihan itu berdaya maju.

“Modal konsesi, ditambah dengan bantuan teknikal dan kawal selia, boleh membantu mengurangkan risiko dan menarik lebih banyak pelbagai modal komersial,” katanya.

Mekanisme pembiayaan kedua, kata Menon, ialah “kredit karbon”, yang terhasil daripada pengurangan pelepasan yang boleh disahkan yang mampu meningkatkan keadaan ekonomi untuk banyak projek peralihan.

Beliau berkata MAS telah menghasilkan kertas kerja bersama McKinsey yang menggariskan bagaimana kredit karbon berintegriti tinggi boleh dijana daripada pengurangan pelepasan masa hadapan berikutan pemberhentian awal operasi jana kuasa arang batu dan penggantian dengan sumber tenaga yang lebih bersih.

Dengan penawaran kredit peralihan, ia berpotensi mengupayakan mekanisme pembiayaan yang dipacu pasaran lebih meluas dan membantu meningkatkan penyumberan modal swasta, katanya.

Menurut Menon MAS akan berkongsi inisiatif yang konkrit bagi meningkatkan mekanisme pembiayaan ini dan mengumumkan perkongsian baharu untuk pelaksanaan selanjutnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)