COVID-19: 1.33 Juta Positif, Lebih 50,000 Pertambahan Kes Dalam Sehari

COVID-19: 1.33 Juta Positif, Lebih 50,000 Pertambahan Kes Dalam Sehari

KUALA LUMPUR,. Angka jangkitan COVID-19 seluruh dunia kini mencecah 1.33 juta setakat jam 6 pagi hari ini (7 April).

Jumlah jangkitan hanya mengambil masa selama empat hari untuk pertambahan sebanyak 331,000 kes apabila angka keseluruhannya melepasi 1 juta pada Jumaat lalu.

Menurut data Johns Hopkins University, empat negara kini telah melepasi angka 100,000 kes positif virus tersebut.

Amerika Syarikat kekal menjadi negara paling terjejas teruk akibat wabak itu apabila mencatatkan 356,942 kes positif.
Sepanyol dan Itali berada di kedudukan kedua dan ketiga apabila masing-masing mencatatkan sejumlah 135,032 dan 132,547 kes.

Jerman menjadi negara keempat dengan kes positif keseluruhan melepasi 100,000 pada Isnin, iaitu pada jumlah 101,806.
Sementara itu, Perancis mencapai jumlah positif COVID-19 sebanyak 98,957 kes dan dijangka melepasi angka 100,000 dalam masa beberapa hari lagi.

Secara keseluruhan, dalam tempoh 24 jam lalu, angka jangkitan COVID-19 di seluruh dunia bertambah lebih 50,000.

Dalam pada itu, angka kematian akibat pandemik ini telah melebihi 70,000 mangsa di seluruh dunia dengan keseluruhan 73,913 terkorban.

Itali masih kekal menjadi menjadi negara paling teruk mencatatkan kes kematian dengan jumlah 16,523.

Sepanyol pula menjadi negara kedua apabila merekodkan 13,169 kematian manakala Amerika Syarikat di kedudukan ketiga dengan 10,524 kematian.

Perancis dan United Kingdom berada di kedudukan keempat dan kelima dengan masing-masing mencatatkan 8,911 dan 5,373 kematian.

Secara keseluruhan, angka kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu di seluruh dunia menyaksikan pertambahan lebih 5,000 kes sehari.

Negara yang pada mulanya tercetus wabak ini pada awal Disember lepas, China, kini tidak lagi berada pada kedudukan lima negara teratas dalam kes positif dan juga jumlah kematian akibat COVID-19.

Kebanyakan kes baharu di China juga kini hanya melibatkan kes import dan kebanyakan kawasan di negara Tembok Besar itu kini sekatannya telah beransur-ansur longgar.

Walaupun dengan jumlah kes positif dan kematian yang tinggi di seluruh dunia, namun terdapat 275,851 kes pesakit COVID-19 yang telah sembuh setakat ini – pertambahan 17,263 kes sembuh dalam tempoh 24 jam lalu.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )