COVID-19: 11,079 kes baharu, tertinggi pernah dicatatkan semalam

COVID-19: 11,079 kes baharu, tertinggi pernah dicatatkan semalam

KUALA LUMPUR,. Kes baharu harian COVID-19 mencatatkan 11,079 kes, yang tertinggi dicatatkan sejak Malaysia dilanda wabak itu.

Sebelum ini, catatan tertinggi kes baharu harian COVID-19 yang direkodkan adalah 9,353 kes pada 10 Julai lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian dalam Twitter memaklumkan Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi dengan 5,263 kes diikuti Kuala Lumpur (1,521); Negeri Sembilan (1,033); Kedah (497); Sarawak (472); Johor (406) dan Perak (329).

Selain itu, Melaka mencatatkan 323 kes; Pahang (321); Sabah (239); Pulau Pinang (234); Kelantan (211); Terengganu (93); Putrajaya (77) dan Labuan (60), sementara tiada kes baharu COVID-19 di Perlis.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam sidang media berkata daripada 11,079 kes baharu, sebanyak 11,052 melibatkan kes tempatan manakala 27 lagi adalah kes import.

Beliau berkata 5,990 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 753,328.

“Sebanyak 96,236 kes aktif dicatatkan kini manakala jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) adalah 972 orang dengan 456 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, 125 kes kematian direkodkan hari ini melibatkan 108 warganegara dan 17 bukan warganegara, menjadikan kumulatif kes kematian kini adalah 6,385.

Katanya, kes kematian melibatkan 57 kes di Selangor; Kuala Lumpur (20); Negeri Sembilan (13); Melaka (sembilan); masing-masing tujuh di Kedah dan Johor; Pahang (tiga), masing-masing dua kes di Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak, serta satu kes di Kelantan.

Beliau berkata 120,448 ujian COVID-19 dijalankan hari ini dengan 52,550 adalah ujian RT-PCR (PCR) manakala 67,898 adalah RTK Antigen (RTK-Ag).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata 23 kluster baharu dikesan hari ini, manakala 2,246 kluster telah tamat dan 870 kluster aktif.

Sementara itu, dalam kenyataan Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data terkini pada 12 Julai, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara adalah 1.14.

“Negeri yang mencatatkan nilai Rt yang tertinggi adalah Putrajaya iaitu 1.32, manakala negeri-negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Terengganu (1.25), Selangor (1.18), Kedah dan Pahang, masing-masing 1.17, Kuala Lumpur (1.13), Melaka (1.12), Pulau Pinang (1.09), Sabah (1.07), Johor (1.04) dan Negeri Sembilan (1.03).

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )