COVID-19: 14 kes baharu dikesan libatkan mangsa banjir di PPS Kelantan, Terengganu – Dr Dzulkefly

COVID-19: 14 kes baharu dikesan libatkan mangsa banjir di PPS Kelantan, Terengganu – Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 14 kes baharu COVID-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan sembilan kes di Kelantan dan lima kes di Terengganu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kes COVID-19 yang dilaporkan itu dikategorikan sebagai sporadik iaitu 12 daripadanya mempunyai gejala ringan dan dirawat di PPS atau di rumah, manakala dua kes memerlukan rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata menerusi aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit yang dijalankan setiap hari di PPS, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan 183 kes jangkitan kulit, 125 kes jangkitan respiratori akut (ARI), tujuh kes konjunktivitis dan tiga kes gastroenteritis akut (AGE).

“Semua kes adalah stabil dan telah diberi rawatan pesakit luar di PPS terbabit. Tiada kes kesihatan mental dirujuk kepada kaunselor atau Pakar Perubatan dilaporkan,” katanya.

Selain itu katanya satu kejadian wabak konjunktivitis dilaporkan Selasa lepas di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Pasir Mas, Kelantan melibatkan lima kes daripada 15 orang yang terdedah dan kesemua mereka diberi rawatan, pendidikan kesihatan dan diisolasi di PPS berkenaan.

Dr Dzulkefly turut memaklumkan sebanyak 51 fasiliti kesihatan terjejas banjir di tiga negeri iaitu 23 fasiliti di Kelantan, Terengganu (11) dan 17 di Pahang.

Beliau berkata sebanyak 34 fasiliti kesihatan masih beroperasi seperti biasa, manakala 16 fasiliti kesihatan telah berpindah operasi ke fasiliti alternatif dan satu fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi kerana terputus hubungan.

“Orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan termasuk fasiliti alternatif seperti biasa dan KKM menasihati orang ramai agar sentiasa peka dan mengambil serius arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian banjir di negeri-negeri yang terlibat dan memastikan langkah pencegahan dan kawalan penyakit sewajarnya, serta perkhidmatan kesihatan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)