COVID-19: 15 kes baharu, satu kematian direkodkan

COVID-19: 15 kes baharu, satu kematian direkodkan

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Selepas mencatat satu angka semalam, kes baharu COVID-19 di Malaysia kembali kepada dua angka hari ini dengan 15 kes baharu dilaporkan membabitkan empat kes import dan 11 penularan tempatan.

Sementara, satu kematian direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 123 kes. Kali terakhir kes kematian dilaporkan di negara ini adalah pada 11 Julai.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah 8,779, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan 103 kes.

“Empat kes import mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja dan pasangan kepada rakyat Malaysia. Empat kes import itu dari United Kingdom (dua kes), India (satu) dan Libya (satu).

“Daripada 11 kes penularan dalam negara, lapan kes adalah dalam kalangan warganegara dan tiga kes bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berkenaan kes penularan tempatan melibatkan rakyat Malaysia, Dr Noor Hisham menjelaskan terdapat lima kes di Sarawak, dan masing-masing satu di Selangor, Sabah serta Johor.

“Lima kes di Sarawak membabitkan satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8743), satu kes saringan kendiri, satu kes saringan sebelum kembali bekerja dan dua kes saringan rawak di lapangan iaitu di pintu masuk utama Sarawak.

Selain itu di Selangor, satu kes saringan pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, satu kes di Sabah membabitkan kes saringan prosedur di Hospital Queen Elizabeth 2 dan satu kes di Johor melibatkan kes ‘Brought In Dead (BID)’. Kes ini juga merupakan kes kematian ke-123 dilaporkan hari ini,” katanya.

Sementara itu, bagi tiga kes jangkitan dalam negara membabitkan bukan warganegara, masing-masing satu kes melibatkan kluster baharu iaitu Kluster Restoran Kuala Lumpur, Kluster Rumah Kongsi Sepang, Selangor dan Kluster Jeti Kuching, Sarawak.

Mengenai kes kematian ke-123 (kes ke-8770), Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan lelaki warganegara berumur 72 tahun, dan mempunyai penyakit darah tinggi kronik serta strok.

“Beliau merupakan penghuni di pusat jagaan warga emas dan mula mengalami gejala demam dan batuk pada 10 Julai. Beliau dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, (Kluang) Johor pada 17 Julai dan meninggal dunia setibanya di wad kecemasan.

Beliau disahkan positif COVID-19 dan meninggal dunia pada 17 Julai, jam 12.51 malam. Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat tujuh kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada wad adalah 8,553 kes, manakala hanya dua kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )