COVID-19: 7,548 kes sembuh tertinggi dicatatkan, atasi kes baharu 5,271 – Dr Noor Hisham
KUALA LUMPUR,. Malaysia merekodkan 7,548 kes sembuh COVID-19 hari ini, angka tertinggi dicatatkan sejak wabak itu melanda negara, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 534,357, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Pada 3 Jun, negara melaporkan 7,049 kes sembuh daripada virus itu.
Perkembangan hari ini menjadikan jumlah kes sembuh harian mengatasi jumlah kes baharu yang mencatatkan 5,271 kes dalam tempoh 24 jam lepas, iaitu penurunan untuk empat hari berturut-turut.
Menurut Dr Noor Hisham menerusi perkongsian infografik di laman Twitter hari ini, jumlah kumulatif kes COVID-19 adalah 622,086 dengan jumlah kes aktif kini 84,269.
Pada masa sama, beliau memaklumkan 82 kematian lagi dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 3,460 orang, selain 902 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 447 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham memperincikan Selangor mencatat kes harian tertinggi sebanyak 1,374 kes, diikuti Sarawak (703), Negeri Sembilan (571), Kuala Lumpur (455), Johor (355), Kelantan (341), Sabah (336), Labuan (209) dan Kedah (194).
Selain itu, Melaka dengan 178 kes, Perak (177), Pulau Pinang (153), Terengganu (117), Pahang (99), Putrajaya (lapan) dan Perlis (satu). — Bernama