COVID-19: Agihan bekalan vaksin berperingkat ikut keperluan setiap PPV

KUALA LUMPUR,. Bekalan vaksin yang diagihkan kepada setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuat secara berperingkat mengikut keperluan jumlah penerima vaksin dan berdasarkan kesesuaian masa.

Bercakap kepada Bernama, Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) A’tia Hashim menjelaskan prosedur pemberian itu bagi menjamin dan menjaga kualiti vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang sensitif terhadap suhu dan mempunyai jangka hayat tertentu mengikut suhu.

Beliau berkata vaksin Comirnaty perlu disimpan dalam penyejuk beku bersuhu ultra-rendah (ULTF) dengan suhu -90ºC sehingga -60ºC bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan optimum.

“Apabila dihantar atau diambil oleh PPV, vaksin akan dipindahkan ke kotak sejuk dengan suhu simpanan 2ºC hingga 8ºC dan dimasukkan ke dalam peti sejuk muatan atas dengan suhu penyimpanan yang sama setelah tiba di PPV.

“Vaksin Comirnaty yang disimpan dalam kotak sejuk pada suhu 2ºC hingga 8ºC mempunyai jangka hayat hingga lima hari atau bersamaan dengan 120 jam,” katanya ketika dihubungi.

Hari ini negara akan menyaksikan detik bersejarah apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia sekali gus menandakan bermulanya Fasa Pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hingga April 2021 yang merangkumi suntikan vaksin kepada 500,000 petugas barisan hadapan.

Kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech membabitkan 312,390 dos, mendarat di Malaysia pada Ahad lepas.

Mengulas lanjut, A’tia berkata proses penghantaran vaksin ke PPV hanya melibatkan penggunaan kotak sejuk kerana ULTF bersifat statik dan ditempatkan di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ditetapkan.

Beliau berkata pergerakan atau tarikh pengambilan bekalan vaksin di PSV adalah bergantung kepada perancangan atau jadual setiap PPV selain menggunakan kenderaan disediakan PPV masing-masing.

Katanya, prosedur agihan sama turut terpakai bagi bekalan vaksin ke kawasan luar bandar atau pedalaman.

“Sekiranya terdapat keperluan penghantaran vaksin menggunakan kenderaan selain pengangkutan darat (bagi kawasan pedalaman) perancangan (khidmat helikopter) akan dibuat oleh PPV yang berkaitan,” katanya.

Mengenai status terkini vaksin Sinovac yang dijangka tiba pada 27 Feb ini, beliau berkata vaksin itu masih lagi dalam proses penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )