COVID-19: Aidilfitri disambut dalam suasana suram

COVID-19: Aidilfitri disambut dalam suasana suram

RIYADH,. Umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri dalam suasana suram dengan kebanyakannya masih menjalani perintah berkurung akibat pandemik COVID-19.

Namun, beberapa negara melaksanakan sekatan yang kurang ketat meskipun wujud kebimbangan berlaku lonjakan jangkitan secara mendadak.

Ketibaan Aidilfitri lazimnya disambut dengan solat di masjid, diraikan bersama keluarga dan sanak-saudara, serta membeli-belah baju baharu, hadiah dan juadah raya.

Bagaimanapun, sambutan tahun ini dibayangi penularan pantas wabak COVID-19 dengan banyak negara memperketatkan sekatan perintah berkurung selepas beberapa kelonggaran ketika Ramadan membawa kepada kenaikan kadar jangkitan yang membimbangkan.

Suasana perayaan Aidilfitri bertambah suram apabila banyak negara dari Arab Saudi hinggalah ke Mesir, Turki dan Syria melarang solat berjemaah di lokasi awam bagi mengekang virus itu daripada merebak.

Arab Saudi memulakan perintah berkurung 24 jam selama lima hari, bermula semalam, selepas bilangan jangkitan meningkat sejak awal Ramadan sebanyak empat kali ganda kepada kira-kira 68,000 kes – tertinggi dalam kalangan negara Teluk.

Solat sunat Aidilfitri akan diadakan di dua masjid suci di Makkah dan Madinah ‘tanpa jemaah’, kata pihak berkuasa yang memetik satu dekri diraja, semalam.

Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis pula hanya akan dibuka semula kepada jemaah selepas Aidilfitri, kata badan pemerintahnya.

Di Lebanon pula, pihak berkuasa agama sunni mengumumkan pembukaan semula masjid hanya untuk solat Jumaat, namun jemaah dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu badan dan kawalan sanitasi sebelum memasukinya.

Sementara itu, rata-rata umat Islam di Asia – dari Indonesia hinggalah ke Pakistan, Malaysia dan Afghanistan – berkunjung ke pasar untuk membeli barangan keperluan menyambut Aidilfitri.

Pakistan yang membenarkan solat didirikan di masjid sepanjang tempoh Ramadan, bagaimanapun belum membuat keputusan berhubung perhimpunan beramai-ramai ketika perayaan ini.

Di Indonesia, penduduk beralih kepada penyeludup dan dokumen perjalanan palsu untuk melepasi sekatan demi pulang ke kampung halaman, sekali gus dikhuatiri boleh mengakibatkan jangkitan wabak meningkat dengan tinggi.

Lebih 3,500 warga Tunisia yang pulang ke tanah air menjelang cuti perayaan pula terpaksa menjalani kuarantin selama dua minggu di hotel setiba mereka dari luar negara.

Jumlah korban COVID-19 di seluruh Asia Barat dan Asia adalah lebih rendah berbanding Eropah serta Amerika Syarikat, namun angkanya yang terus meningkat dikhuatiri berkemungkinan tidak mampu ditangani oleh sistem penjagaan kesihatan yang lemah.

Iran menyeru rakyatnya supaya mengelakkan perjalanan ketika Aidilfitri dalam usaha negara itu memerangi penularan COVID-19.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperketatkan perintah berkurung dengan penguatkuasaan pada waktu malam bermula jam 8 malam berbanding jam 10 malam ketika Ramadan.

Namun, umat Islam di banyak negara menyambut Aidilfitri dengan berjimat cermat susulan krisis kewangan yang semakin meruncing akibat pandemik berkenaan. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )