COVID-19: Amalkan norma baharu dengan lebih berdisiplin ketika PRN Sabah – PM

COVID-19: Amalkan norma baharu dengan lebih berdisiplin ketika PRN Sabah – PM

KUALA LUMPUR,. Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan penduduk Sabah dan semua pihak yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu supaya sentiasa mengamalkan norma baharu kehidupan dengan lebih berdisiplin.

Perdana Menteri berkata susulan peningkatan kes baharu COVID-19 amat ketara di negeri itu khususnya di daerah Tawau dan Lahad Datu, penduduk di negeri itu perlu lebih berhati-hati.

“Kepada petugas-petugas pilihan raya, pastikan semua aktiviti kempen dijalankan mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Muhyiddin berkata demikian menerusi perutusan khas mengenai perkembangan semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan dan platform media sosial, malam ini.

Muhyiddin berkata dalam suasana berkempen bagi pilihan raya itu, sebarang perkumpulan di tempat yang sesak dan sempit hendaklah dielakkan, termasuklah bersalam dengan pengundi.

“Saya fikir, pengundi pun faham kalau mereka yang turun berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Yang penting, kita saling melindungi antara satu sama lain supaya tidak terkena jangkitan COVID-19. Kita jaga kita bah,” katanya.

Sabah mencatat peningkatan kes baharu sejak 10 September dengan 40 kes, diikuti jumlah tertinggi pada 11 September dengan 167 kes.

Sehingga kini, Kluster COVID-19 yang aktif di Sabah adalah Kluster Benteng LD di Lahad Datu dan Tawau dengan kes 424 positif serta Kluster Laut di Kunak (empat kes positif) dan terbaharu, Kluster Pulau juga di Kunak dengan sembilan kes.

Selain itu, kesemua 13 kes penularan tempatan yang direkodkan pada hari ini adalah di Sabah membabitkan 10 warga tempatan dan tiga warga asing.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)