COVID-19: AS tambah 305 lagi kematian

COVID-19: AS tambah 305 lagi kematian

WASHINGTON,. Amerika Syarikat (AS) merekodkan 305 kes kematian baharu akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menurut data Johns Hopkins University setakat jam 8.30 malam tadi waktu tempatan.

Ia sekali gus menandakan hari ke-11 berturut-turut di mana jumlah korban harian COVID-19 kurang dari 1,000 kes dan kali ketiga jumlah kematian kurang 400 kes sejak pandemik itu ‘mengganas’ pada pertengahan April lalu.

Bagaimanapun, AS masih kekal sebagai negara paling teruk terjejas angkara pandemik itu dengan 119,959 kematian dari 2,278,373 kes jangkitan keseluruhannya.

Kira-kira 20 negeri mengalami peningkatan semula kes jangkitan, ketika pusat wabak beralih ke barat daya dari New York dan timur laut negara itu.

Selepas kes baharu yang disahkan merosot bawah 20,000 setiap hari baru-baru ini, angka itu kembali meningkat kepada 30,000 dan melebihinya dalam beberapa hari terakhir.

Terdapat juga kebimbangan akan tercetusnya gelombang kedua jangkitan COVID-19 susulan pembukaan semula sekatan dan tunjuk perasaan anti-perkauman besar-besaran di negara itu, hujung minggu lalu.

Presiden AS, Donald Trump ketika berucap dalam kempen pertama pilihan rayanya sejak krisis COVID-19 di Oklahoma semalam turut dikritik sebagai hadir dalam acara yang boleh menyebabkan jangkitan ‘super’ wabak itu. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )