COVID-19 : Bank Pembangunan akan bantu pelanggan terjejas

COVID-19 : Bank Pembangunan akan bantu pelanggan terjejas

KUALA LUMPUR,. Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) akan menyediakan sokongan sewajarnya kepada pelanggannya yang mengalami masalah, termasuk memberi kemudahan moratorium pembayaran balik pinjaman/pembiayaan bagi tempoh enam bulan.

Dalam satu kenyataan hari ini, BPMB berkata pelanggannya merangkumi syarikat yang terbabit dalam sektor utama ekonomi seperti infrastruktur, minyak dan gas serta pelancongan.

Ini seiring dengan langkah-langkah diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 24 Mac, 2020 untuk membantu individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat menangani impak COVID-19.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata bank tersebut juga menyokong penuh inisiatif terbabit dan akan memberi bantuan kepada pelanggan, khususnya di saat-saat sukar.

“Ini tugas kami. Hanya dengan menyokong dan meringankan beban pelanggan, adalah diharapkan mereka juga dapat memastikan khidmat pekerja dapat dikekalkan,” katanya.

Menurutnya, kemudahan moratorium ini terpakai kepada pelanggan sedia ada BPMB yang terjejas akibat COVID-19.

“Faedah/keuntungan yang tertunda sepanjang tempoh enam bulan itu tidak akan dikenakan faedah kompaun. Bayaran ansuran/bayaran balik pinjaman/pembiayaan (prinsipal dan faedah/keuntungan) akan ditanggung oleh pelanggan apabila tamat tempoh moratorium,” katanya.

Pelanggan BPMB yang terjejas digalakkan menghubungi pengurus terbabit untuk membincangkan kebimbangan berkaitan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)