COVID-19 cetus masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak, golongan muda di Thailand

COVID-19 cetus masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak, golongan muda di Thailand

BANGKOK: Pandemik COVID-19 terus mencetuskan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda di Thailand, kerana penilaian kesihatan mental terbaru menunjukkan sebilangan besar remaja menghadapi tekanan, rasa gelisah dan kemurungan.

Menurut kenyataan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Thailand penilaian itu mendapati 28 peratus remaja mengalami tekanan tahap tinggi, 32 peratus berisiko mengalami kemurungan dan 22 peratus berisiko membunuh diri.

Dapatan ini berdasarkan data dikumpulkan daripada 183,974 remaja dalam tempoh 18 bulan dari 1 Januari tahun lepas hingga 30 Sept tahun ini.

Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober, UNICEF dan Jabatan Kesihatan Mental (DMH) menyatakan kebimbangan terhadap kesan negatif COVID-19 yang berterusan ke atas kesihatan mental kanak-kanak dan golongan muda di negara ini.

Wakil UNICEF Thailand, Kyungsun Kim percaya peningkatan jumlah kanak-kanak dan remaja di Thailand dan seluruh dunia yang menghadapi masalah kesihatan mental adalah sedikit berbanding jumlah sebenar.

Kim berkata, UNICEF komited untuk bekerjasama dengan DMH, pihak berkuasa pendidikan, dan rakan kerjasama lain untuk memastikan tumbesaran dan pembelajaran kanak-kanak dalam persekitaran yang selamat, kasih sayang dan dilindungi kerana ia dapat menyokong kesejahteraan mental mereka.

Awal minggu ini, UNICEF mengeluarkan laporan “The State of the World’s Children 2021; On My Mind: Promoting, Protecting and Caring for Children’s Mental Health” yang menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada tujuh kanak-kanak dunia secara langsung terkesan dengan sekatan pergerakan, manakala lebih daripada 1.6 bilion kanak-kanak mengalami keciciran pendidikan.

Laporan itu juga memberi amaran bahawa kanak-kanak dan orang muda mungkin mengalami penderitaan mental dan kesejahteraan akibat kesan COVID-19 dalam jangka panjang.

Sementara itu, DMH menyatakan bunuh diri adalah penyebab utama kematian dalam kalangan remaja di Thailand. Pada 2019, kira-kira 800 remaja dan orang muda berusia 10 hingga 29 tahun membunuh diri.

Kurang pengetahuan dan kesedaran mengenai kesihatan mental, stigma yang berkaitan dan kekurangan sumber serta dana kesihatan mental menghalang terlalu banyak kanak-kanak dan remaja daripada mempunyai kesihatan mental yang positif atau memperoleh sokongan dan perkhidmatan yang mereka perlukan.

Menurut Institut Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja Rajanagarindra DMH (CAMRI), Thailand hanya mempunyai 200 psikiatri khusus untuk kesihatan mental kanak-kanak dan remaja untuk 15 juta populasi remaja.

– BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)