COVID-19: Hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes positif telah pulih

COVID-19: Hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes positif telah pulih

PUTRAJAYA, 14 April — Keadaan COVID-19 di Malaysia merekodkan perkembangan baik apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad telah mencapai jumlah kumulatif 2,478 orang, iaitu 49.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya hari ini seramai 202 orang juga melebihi jumlah kes positif baharu iaitu170 kes yang direkodkan sehingga 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 4,987 kes.

“Setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,427 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Bercakap pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini, Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan lima kes kematian menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 82 kematian akibat COVID-19, setakat ini.

Beliau berkata ini menjadikan kes kematian akibat COVID-19 adalah 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya kematian ke-78 (kes ke-4,532) merupakan lelaki dewasa tanpa identiti diri dan dipercayai bukan warganegara yang ditemui mati di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 April lepas.

“Keputusan ujian sampel COVID-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 11 April 2020, kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan kes kematian ke-79 (kes ke-2,052) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang,

“Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 (hari ini), 5.17 pagi,” katanya.

Sementara itu, kes kematian ke-80 (kes ke-4,818) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit jantung dan penyakit buah pinggang, yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 7 April dan disahkan meninggal dunia pada 12 April pukul 11.36 malam.

“Kes kematian ke-81 (kes ke-4,521) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-4,088 yang telah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 9 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 April 2020 pukul 4.20 petang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-82 (kes ke-1,649) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-343 yang telah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling.

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 26 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 (hari ini) pukul 11.50 pagi.” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 60 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 33 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )