COVID-19: Hanya 1.9 peratus daripada 9,380 kes kes baharu kategori 3, 4, 5

KUALA LUMPUR: Hanya 1.9 peratus atau 181 daripada 9,380 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, terdiri daripada individu dalam kategori tiga, empat dan lima.
Kategori tiga merujuk kepada mereka yang mempunyai radang paru-paru, kategori empat memerlukan bantuan oksigen manakala lima memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 9,199 kes atau 98.1 peratus pula terdiri daripada mereka dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 9,367 kes melibatkan penularan dalam negara membabitkan 8,755 warganegara dan 612 rakyat asing manakala 13 kes adalah kes import membabitkan lapan warganegara dan lima rakyat asing,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata sebanyak 13,045 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,144,681. Dr Noor Hisham berkata terdapat 851 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 800 yang disahkan positif COVID-19 manakala 51 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Sebanyak 447 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 348 yang disahkan positif COVID-19 manakala 99 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan (suspected and probable) dan dalam siasatan.
Beliau turut memaklumkan 11 kluster baharu dikesan dengan masing-masing lima membabitkan penularan di tempat kerja dan dalam komuniti, sementara satu kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi.

Dr Noor Hisham memberitahu kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) untuk Malaysia semalam adalah 0.87 dengan Perlis mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.03. Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik dalam laman GitHub dan laman sesawang COVIDNOW menerusi https://covidnow.moh.gov.my.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )