COVID-19: Hanya satu lokasi pelancongan ditutup di Perak

COVID-19: Hanya satu lokasi pelancongan ditutup di Perak

BATU GAJAH,. Hanya satu produk pelancongan di Perak ditutup sementara susulan terdapat pengunjung disyaki positif COVID-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Beliau berkata setakat ini tiada lokasi tumpuan pelancong lain yang ditutup walaupun kes baharu pandemik itu semakin meningkat.

Katanya, penutupan Taman Tema Sunway Lost World of Tambun selama 14 hari bermula Selasa lepas adalah pendekatan yang diambil pihak pengurusan dan pentadbiran taman tema berkenaan.

“Tindakan itu bukan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi pihak pengurusan dan pentadbiran mereka yang memilih untuk menutup taman tema itu bagi tujuan sanitasi dan keselamatan pekerja serta menjamin keadaan selamat,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Geotourism Vouchers #TravelPeraklah dan Dark Tourism di Kellie’s Castle di sini, malam ini.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata kerajaan negeri melalui Tourism Perak dengan kerjasama persatuan pelancongan negeri sekali lagi melancarkan inisiatif pemulihan sektor pelancongan dengan memperkenalkan Geotourism Vouchers #TravelPeraklah dan Dark [email protected]’s Castle.

Menurutnya, Geotourism Vouchers #TravelPeraklah adalah kesinambungan daripada sambutan ulang tahun Geopark Lembah Kinta kali kedua yang secara tidak langsung membantu agensi pelancongan terkesan susulan penularan COVID-19.

Sementara, Kellie’s Castle pula meneruskan program Dark Tourism dengan penganjuran Kellie’s Night Tour V.3 pada Jumaat dan Sabtu bermula pukul 8 hingga 12 tengah malam sepanjang bulan Oktober ini.

Beliau berharap pelancaran inisiatif baharu itu dapat menggalakkan kedatangan pelancong domestik ke Perak dengan tempoh menginap lebih lama sekali gus membantu ekonomi agensi pelancongan dalam norma baharu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )