![COVID-19: IKM Kota Kinabalu cipta terowong sanitasi mudah alih COVID-19: IKM Kota Kinabalu cipta terowong sanitasi mudah alih](https://gerbangpost.com/wp-content/uploads/2020/04/1C2284DB-2DDA-4811-9F05-377CD4C6E7D9-696x385-1.jpeg)
COVID-19: IKM Kota Kinabalu cipta terowong sanitasi mudah alih
KOTA KINABALU, 8 April — Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu menggunakan kepakaran inovasi warga kerjanya untuk mencipta sebuah terowong sanitasi mudah alih bagi kegunaan petugas barisan hadapan khususnya anggota keselamatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) negeri ini.
Pengarahnya Khairil Annuar Sobri berkata terowong sanitasi mudah alih berukuran 1.8 meter panjang dan 2.5 meter tinggi itu dibangunkan lima tenaga kerja IKM Kota Kinabalu yang melibatkan kos kira-kira RM1,500.
Beliau berkata projek inovasi itu yang kini telah 20 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada minggu depan, akan ditempatkan di lokasi yang telah dikenal pasti.
“Terowong sanitasi mudah alih ini adalah projek kedua IKM Kota Kinabalu (dalam usaha membantu menangani COVID-19) selepas projek pertama iaitu menghasilkan pelindung muka yang telah disumbangkan kepada petugas kesihatan barisan hadapan yang memerlukan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Khairil Annuar berkata projek itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat IKM Kota Kinabalu selain untuk mendekatkan pelajar dan warga kerjanya kepada masyarakat sekali gus bersama-sama menangani penularan COVID-19.
Dalam pada itu, Khairil Annuar berkata, terowong sanitasi mudah alih tersebut juga boleh digunakan oleh masyarakat setempat sebagai inisiatif memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
“IKM Kota Kinabalu akan terus menghasilkan terowong sanitasi mudah alih sekiranya ada permintaan (di masa akan datang),” katanya dan berharap inisiatif terbabit dapat membantu petugas barisan hadapan mendepani situasi mencabar ketika ini.
— BERNAMA