COVID-19: Indonesia belum cadang perintah sekatan keluar masuk

JAKARTA,. Presiden Joko Widodo (Jokowi) menyatakan bahawa Indonesia belum bercadang melaksanakan perintah sekatan keluar masuk (lockdown) bagi membendung penularan jangkitan virus COVID-19.

Beliau berkata bahawa kerajaan pusat belum lagi memikirkan ke arah tersebut (lockdown) malah keputusan perintah sekatan keluar masuk adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat dan ia tidak boleh diputuskan oleh pemerintah daerah mahupun wilayah.

Beliau berkata demikian dalam siaran secara langsung melalui akaun YouTube rasmi Sekretariat Presiden, petang ini.

Jokowi berkata kerajaan pusat mengambil pendekatan mengawal aktiviti masyarakat agar tidak melakukan perhimpunan dalam skala besar dan meminta agensi dan pihak majikan melaksanakan peraturan membenarkan pekerja tertentu bekerja dari rumah.

“Sekarang ini yang paling penting yang perlu dilakukan adalah bagaimana kita mengurangi mobilitas (pergerakan) orang dari satu tempat ke tempat lain, menjaga jarak sosial dan mengurangi perhimpunan.

“Peraturan belajar dari rumah, bekerja dari rumah, dan beribadah di rumah perlu untuk terus kita lakukan,” katanya.

Menurut jurucakap kerajaan berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, setakat hari ini, kes positif telah meningkat kepada 134 kes.

“Sebanyak 17 kes baharu hari ini (semalam jumlah kes 117), jumlah kematian kekal 5 setakat ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )