COVID-19: Indonesia Catat Kes Tertinggi Di Asia Tenggara

COVID-19: Indonesia Catat Kes Tertinggi Di Asia Tenggara

JAKARTA,. Jumlah jangkitan COVID-19 di Indonesia meningkat kepada 41,431 kes hari ini, menurut pegawai kanan kesihatan, sekali gus menjadikan negara itu paling teruk terkesan di Asia Tenggara.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan untuk penyakit berjangkit, Dr Achmad Yurianto, berkata republik itu merekodkan 1,031 kes jangkitan baharu, manakala kematian meningkat 45 kes.

Indonesia memiliki jumlah kes dan kematian aktif tertinggi di rantau ini, masing-masing berjumlah 22,912 dan 2,276 kes pada hari ini.

Pada 9 Jun lalu, angka kes harian di negara itu mencecah 1,000 untuk kali pertama. Ia hampir kepada 10,000 kes jangkitan baharu direkodkan sejak 10 hari lalu.

Peningkatan jangkitan tercetus apabila Indonesia mula melonggarkan larangan sosial skala besar dan membenarkan masjid, pejabat serta kompleks membeli-belah dibuka semula namun dengan protokol kesihatan ketat selain kapasiti dikurangkan.

Kerajaan pusat memutuskan pada bulan ini untuk menyingkirkan larangan secara berperingkat terhadap jumlah penumpang dalam pesawat, keretapi, kapal dan bas termasuk membenarkan sekolah di kawasan risiko rendah dibuka semula.

Jakarta juga memasuki fasa transisi pada 5 Jun lalu, dengan kedai dan pejabat dibenarkan untuk dibuka semula pada minggu lalu serta menyambung operasi kompleks membeli-belah pada Isnin.

Bercakap kepada pemberita, Dr Yurianto menafikan peningkatan mendadak kes yang mempunyai kaitan dengan keputusan kerajaan melonggarkan larangan sosial di negara itu.

Jelasnya, jumlah tinggi direkodkan adalah hasil pengesanan kontak yang agresif.

“Kerajaan memutuskan untuk lebih agresif dalam menjalankan pengesanan kontak.

Ujian (kapasiti) meningkat dengan banyak dan ujian juga dijalankan secara meluas sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Ini sebabkan berlaku peningkatan mendadak,” katanya. – AGENSI

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )