COVID-19: Jumlah pesakit sembuh melebihi kes positif baharu

COVID-19: Jumlah pesakit sembuh melebihi kes positif baharu

PUTRAJAYA, 10 April — Situasi wabak COVID-19 di negara ini terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad hari ini, adalah seramai 222 orang, melebihi jumlah kes positif baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 118 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,346 kes.

“Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj dari wad adalah 1,830 iaitu sebanyak 42.11 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Semalam, situasi COVID-19 di negara ini turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad seramai 121 orang, melebihi jumlah kes positif baharu iaitu 109 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi ialah 69 dengan 40 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau berkata setakat 12 tengah hari ini, terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian menjadikan keseluruhannya sebanyak 70 kematian akibat COVID-19 setakat ini.

“Kes kematian ke-68 (kes ke-694) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 daripada kluster Sri Petaling (kes ke-159).

“Beliau dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Sabah pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 10 April, pukul 8.21 pagi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-69 (kes ke-4229) pula merupakan lelaki warga Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

Lelaki itu telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 10 April pukul 4 pagi.

Katanya kes kematian ke-70 (kes ke-4230) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 88 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan demensia.

Wanita itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-1684),  telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 20 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 10 April pada 2.38 pagi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Institut Perubatan Forensik Negara telah menjalankan satu bedah siasat terhadap satu mayat kes COVID-19 di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Penemuan bedah siasat mendapati terdapat virus COVID-19 dikesan pada permukaan badan mayat melalui analisa Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Penemuan baharu ini adalah selaras dengan pandangan yang dikemukakan oleh KKM sebelum ini dan dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 15 Mac serta Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST) pada 16 Mac,” katanya.

Katanya ia selaras dengan tatacara pengurusan jenazah Islam pesakit COVID-19 yang hanya dibenarkan untuk ditayamum di atas permukaan beg jenazah, manakala bagi mayat bukan Islam, apa-apa upacara keagamaan dan tradisi hanya dibuat di atas permukaan beg mayat.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)