COVID-19 : Jumlah semasa di Singapura melepasi 24,000

COVID-19 : Jumlah semasa di Singapura melepasi 24,000

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 12 Mei — Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini mengesahkan 884 kes baharu new COVID-19 menjadikan jumlah yang dijangkiti di republik ini kepada 24,671 kes.

Data awal sehingga tengah hari ini menunjukkan bahawa hanya tiga kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap manakala selainnya pemegang permit kerja yang ditempatkan di asrama pekerja asing.

Dalam satu kenyataan di sini, MOH memaklumkan ia masih mengkaji butiran kes berkenaan dan akan mengumumkan perkembangan terkini pada hari ini.

Lewat semalam, Singapura melaporkan 35 kes yang disahkan negatif COVID-19 telah dikeluarkan daripada kiraan jumlah kes yang disahkan.

Oleh itu, jumlah terkini bagi Isnin ialah 23,787 kes.

Kementerian itu mendedahkan pada Ahad terdapat 33 kes dari sebuah makmal adalah positif palsu, susulan masalah terhadap penentukuran radas untuk satu daripada kit ujiannya.

Menurut MOH, ujian semula yang dijalankan berikutnya di National Public Health Laboratory mengesahkan ia kes negatif.

Menurut kementerian itu, ia telah mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan, dan menambah kata bahawa makmal berkenaan telah diberhentikan daripada menjalankan semua ujian dan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu penentukuran itu.

Sebagai tambahan, MOH berkata terdapat dua keputusan yang samar-samar dan kemudiannya disahkan sebagai negatif selepas diuji semula.

Singapura setakat ini mengklasifikasi 1,329 sebagai kes komuniti, 580 kes import, 468 kes melibatkan pekerja asing tinggal di luar asrama dan 21,410 kes pekerja asing ditempatkan di asrama.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)