COVID-19: Kes baharu catat tiga angka, tiga kematian – Dr Noor Hisham

COVID-19: Kes baharu catat tiga angka, tiga kematian – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 23 Sept — Jumlah kes baharu COVID-19 di Malaysia kembali mencatat tiga angka pada 147 kes yang turut merangkumi 143 jangkitan tempatan selain merekodkan tiga kematian baharu dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan kes terkumpul wabak tersebut berjumlah 10,505 yang meragut 133 nyawa.

Katanya kes penularan tempatan melibatkan 115 rakyat Malaysia dan 28 warga asing, manakala kes import pula membabitkan tiga rakyat tempatan dan satu warga asing yang pulang dari India (3 kes) dan Indonesia (1 kes).

“Bagi kes penularan dalam negara, sebanyak 134 kes dikesan di Sabah; lima di Kedah; Selangor (2) dan masing-masing satu di Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Memperincikan kes kematian, Dr Noor Hisham berkata dua dilaporkan di Sabah, sementara satu lagi di Kedah.

Beliau berkata kematian ke-131 (kes ke-10495) adalah wanita Indonesia berusia 48 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Wanita itu mengalami gejala lemah badan, muntah, batuk dan demam pada 14 Sept. Kes dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, Sabah pada 18 Sept dalam keadaan separa sedar.

“Keadaannya merosot dan dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 19 Sept dan disahkan meninggal dunia pada hari sama, kira-kira 10.20 malam. Saringan COVID-19 didapati positif pada 22 Sept,” katanya.

Beliau berkata kematian ke-132 (kes ke-10493) pula ialah seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna, Sabah pada 18 Sept selepas mengalami gejala demam, batuk dan sukar bernafas.

Dr Noor Hisham berkata keadaan lelaki itu semakin merosot dan kemudian dirujuk ke Hospital Tawau pada 20 Sept serta dimasukkan ke ICU sebelum disahkan meninggal dunia semalam.

Saringan COVID-19 pada hari sama mendapati kes adalah positif, katanya.

“Bagi kematian ke-133 (kes ke-9224) melibatkan lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun dengan latar belakang penyakit strok dan merupakan kontak rapat kepada kes ke-9124 (telah meninggal dunia) daripada Kluster Tawar.

“Kes tidak bergejala, dikesan positif COVID-19 pada 19 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Keadaannya merosot dan dipindahkan ke ICU serta disahkan meninggal dunia pada 3.40 pagi tadi (23 Sept),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 39 kes pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya kini sebanyak 9,602 kes atau 91.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada masa ini terdapat lapan kes dirawat di ICU dengan dua memerlukan alat bantuan pernafasan, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)