COVID-19: Kluster baharu dikesan di Sendayan – Noor Hisham

COVID-19: Kluster baharu dikesan di Sendayan – Noor Hisham

PUTRAJAYA, 14 April — Kementerian Kesihatan mengesan satu kluster baharu di Sendayan, Negeri Sembilan melibatkan sebuah maahad tahfiz.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini 39 kes positif COVID-19 dikesan di Sendayan melibatkan 13 orang pelajar tahfiz, sekumpulan 15 individu dan 11 orang daripada sebuah keluarga.

“Jadi ada penularan COVID-19 di Sendayan. Tindakan bersepadu telah dan sedang dilaksanakan pihak kami di lapangan bagi membendung penularan COVID-19 di Sendayan,” katanya dalam taklimat harian mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata setakat ini 28 kluster penularan virus itu dikesan di negara ini dengan kluster perhimpunan di Sri Petaling adalah yang terbesar.

“Selain kluster perhimpunan di Sri Petaling, kluster yang lain disifatkan masih kecil,” katanya.

Ditanya sekiranya ada kemungkinan kes-kes baharu dikesan Masjid India dan kawasan sekitar Kuala Lumpur, beliau berkata setakat ini  573 sampel telah diambil dan pihaknya sedang menantikan keputusan ujian.

“Di Masjid India setakat ini kita tidak ada kes positif atau kes baharu yang dikesan, tapi kita telah mulakan tindakan keatas kes aktif yang dikesan di kawasan itu, malah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketakan (PKPD) telah dilaksanakan, jadi ia akan mengambil masa beberapa hari sebelum kita boleh dapatkan keputusan ujian,” jelasnya.

Kerajaan telah mengenakan PKPD di kawasan Masjid India dan kawasan sekitar Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini sehingga 28 April.

PKPD turut dikenakan di Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang yang berhampiran dengan kawasan Masjid India.

Kerajaan turut memutuskan untuk melanjutkan tempoh PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor; serta Menara City One di Jalan Munshi Abdullah; dan Selangor Mansion serta Malayan Mansion di Jalan Masjid India.

PKPD di kawasan-kawasan ini dilanjutkan sehingga 28 April disebabkan peningkatan kes-kes COVID-19 di kalangan penduduk di kawasan berkenaan.

Sementara itu PKPD di Batu 21-23, Kampung Sungai Lui di Hulu Langat, tamat malam semalam, kecuali Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui, di mana PKPD akan diteruskan sehingga 28 April.

Noor Hisham berkata di beberapa kawasan tertentu, terdapat potensi untuk COVID-19 merebak, justeru pihak kementerian terpaksa membendung penularannya di kawasan itu.

“PKPD perlu dilaksanakan bagi memastikan kita boleh menyaring kesemua mereka, mencari dan mengesan kes-kes positif. Tindakan perlu dilaksanakan. Untuk makluman, PKPD di Simpang Renggam dan Sungai Lui sebelum ini berjaya membendung penularan jangkitan virus itu.

“Ia sesuatu yang perlu tumpuan penuh dan kolaborasi dari polis dan tentera untuk menjayakan pelan tindakan ini,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )