COVID-19: Majlis Keselamatan PBB berbelah bahagi
NEW YORK,. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), buat pertama kali membincangkan pandemik COVID-19 semalam dengan anggotanya berbelah bahagi menyatakan sokongan.
Ini berikutan 15 ahlinya mahu majlis itu mengekalkan fungsinya yang terhad kepada memperjuangkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Ia juga secara tidak langsung menimbulkan persoalan dalam kalangan ahlinya sama ada bersetuju atau tidak dengan perang menentang coronavirus serta resolusi yang dicapai.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, secara peribadi memberi taklimat dalam beberapa mesyuarat maya mengenai wabak yang mengorbankan 90,000 nyawa dan menjangkiti 1.5 juta orang di lebih 200 negara.
“Pandemik ini menimbulkan ancaman ketara terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa berikutan ia berpotensi meningkatkan pergolakan serta keganasan sosial, sekali gus menjejaskan keupayaan kita melawan penyakit ini.
“Pembabitan Majlis Keselamatan adalah kritikal bagi mengurangkan kesan terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa akibat pandemik ini.
“Malah, isyarat perpaduan dan resolusi daripada Majlis Keselamatan akan banyak diambil kira pada saat cemas ini,” katanya pada mesyuarat UNSC secara maya semalam.
Sementara itu, Duta China ke PBB, Zhang Jun, menegaskan bahawa mesyuarat semalam sepatutnya menolak apa-apa perbuatan mempolitikkan atau mewujudkan stigma tertentu.
Teguran itu menyusuli kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bulan lalu, mengatakan coronavirus adalah virus China dan Beijing tidak bertindak pantas bagi memberi amaran kepada dunia mengenai ancamannya.
Hasil rundingan Majlis Keselamatan PBB sejak beberapa minggu lalu, kini terdapat dua deraf resolusi iaitu draf resolusi Perancis membabitkan lima kuasa veto termasuk AS, China, Perancis, Russia dan Britain.
Deraf kedua iaitu deraf resolusi Tunisia, membabitkan perbincangan 10 ahli tidak tetap Majlis Keselamatan, yang dipilih secara bergilir untuk tempoh dua tahun.
Duta AS ke PBB, Kelly Craft, berkata seluruh dunia memberi tumpuan terhadap mesyuarat itu dan Majlis Keselamatan mesti bertindak menyelamatkan nyawa.
“Cara yang paling berkesan untuk menangani pandemik ini ialah melalui pengumpulan dan analisis data berasaskan sains selain analisis asal-usul, ciri dan penyebaran virus ini,” katanya.
Majlis Keselamatan PBB bermesyuarat atas permintaan sembilan daripada 10 anggota yang dipilih dan mengeluarkan kenyataan ringkas dipersetujui secara konsensus.
Ia menyatakan sokongan terhadap usaha Guterres mengenai ‘potensi kesan pandemik COVID-19 kepada negara yang terjejas dengan konflik’.
Resolusi itu memerlukan sembilan undian yang memihak dan tiada kuasa veto akan diguna pakai.
MajlisKeselamatan sebelum ini pernah membuat resolusi berhubung isu kesihatan global, umpamanya pada 2000 dan 2011 mengenai HIV/AIDS dan krisis Ebola di Afrika Barat pada 2014.
Dalam kedua-dua kes berkenaan badan dunia itu mengisytiharkannya sebagai ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Guterres menegaskan wabak COVID-19 adalah perjuangan satu generasi dan raison d’être atau sebab kenapa badan dunia itu wujud. – AGENSI