COVID-19: Penularan wabak jejas persediaan atlet ke Tokyo 2020

COVID-19: Penularan wabak jejas persediaan atlet ke Tokyo 2020

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Persediaan kontinjen negara ke temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 terjejas berikutan penularan wabak COVID-19 yang tidak menunjukkan sebarang tanda pengurangan buat masa ini.

Perkembangan terkini, Jawatankuasa Bertindak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah mengarahkan semua atlet dan jurulatih untuk mengosongkan penginapan di semua fasiliti MSN di Bukit Jalil, Kampung Pandan, Keramat, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Langkawi bermula esok.

Ia selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa esok sehingga 31 Mac di seluruh negara, ditambah dengan atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, yang disahkan positif COVID-19 semalam.

Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan Mohd Manshahar Abd Jalil mengakui situasi semasa memberikan impak kepada persediaan anak buahnya yang sedang berusaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo.

“Memang betul ada impak tetapi kita kena akur kerana perkara ini bukan hanya di Malaysia, hampir semua negara terkesan dengan COVID-19, termasuk Jepun dan negara Eropah. Banyak kejohanan telah dibatalkan atau ditunda, ia telah menjadi kesan global, jadi kena terima demi kebaikan semua pihak.

“Buat masa ini, kita tidak dapat meramal kelayakan dan ranking ke Olimpik, kerana tiada kejohanan diadakan. Tempoh kelayakan bagi olahraga dibuka sehingga 29 Jun, jadi saya akan katakan semua atlet negara ada peluang untuk layak, terutama pemenang pingat Sukan SEA 2019, sekiranya mereka dapat melepasi had kelayakan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Antara atlet yang berpeluang untuk layak ialah pelari pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi; Lee Hup Wei dan Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi); Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Andre Anura Anuar (lompat jauh) serta Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang).

Mohd Manshahar turut mengesahkan bahawa Muhammad Irfan adalah satu-satunya atlet olahraga yang sedang mengikuti latihan di Amerika Syarikat sejak bulan lepas.

Dalam pada itu, jurulatih skuad memanah para negara Marzuki Zakaria turut mengakui skuadnya terkesan dengan penularan virus COVID-19 yang menjejaskan pelan periodisasi untuk mencapai kemuncak di Tokyo nanti.

“Mental atlet dah mula bercelaru apabila Sukan Para ASEAN (APG) yang dijadualkan pada Januari telah ditunda beberapa kali. Kini program latihan kita juga dah terganggu dengan penularan wabak COVID-19 ini.

“Bagaimanapun, buat masa ini, tiada pengumuman pembatalan atau penundaan Paralimpik dan kejohanan kelayakan terakhir iaitu Kejohanan Memanah Para Ranking Dunia bermula 15 hingga 21 Jun di Republik Czech, yang mana finalis akan layak ke Tokyo. Jadi kita akan terus berusaha capai matlamat kita,” katanya.

Buat masa ini, juara dunia acara recurve lelaki, S.Suresh dan Wiro Julin (compound lelaki) telah melayakkan diri manakala skuad negara sedang berusaha untuk membantu Nor Jannaton Abdul Jalil layak dalam acara compound wanita.

Sukan Olimpik dijadualkan berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos diikuti temasya Paralimpik pada 25 Ogos hingga 6 Sept.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )