COVID-19 : Perintah Kawalan Pergerakan bukan perintah berkurung – KPN

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah bukan Perintah Berkurung, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan adalah demi untuk keselamatan negara dan orang ramai.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan dalam usaha untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bersabit Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit yang akan berkuat kuasa pada tengah malam ini.

“Oleh itu, orang ramai diminta tidak menyebarkan berita yang tidak pasti kesahihannya atau berita palsu yang menimbulkan keresahan dan kerisauan melampau (Perintah Kawalan Pergerakan yang menyamakannya sebagai Perintah Berkurung),” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata pembelian panik tidak seharusnya berlaku kerana Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa bekalan masih mencukupi dan ia tidak sama seperti perintah berkurung yang tidak membenarkan rakyat keluar langsung.

Abdul Hamid berkata dengan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan, pihaknya akan melaksanakan tanggungjawab di bawah Seksyen 5 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu memberi apa-apa bantuan yang diminta oleh pegawai (agensi kerajaan) yang diberi kuasa.

Selain itu, Seksyen 20 Akta Polis 1967 iaitu melaksanakan tugas dan menjalankan kuasa yang dipertanggungjawabkan atau diberikan oleh undang-undang ke atas seorang pegawai polis.

“Perlu diingatkan bahawa sebarang bentuk pelanggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa pada tengah malam ini (18 Mac 2020) sehingga 31 Mac 2020, boleh menjadi kesalahan jenayah dan boleh diambil tindakan.

Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya, Seksyen 188 Kanun Keseksaan iaitu mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam, Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 271 Kanun Keseksaan iaitu mengingkari aturan kuarantin,” katanya.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab polis untuk menyekat penularan jangkitan COVID-19 dengan mematuhi segala Perintah Kawalan Pergerakan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)