COVID-19: PKP terpaksa dilaksanakan semula jika kes meningkat mendadak – Muhyiddin

COVID-19: PKP terpaksa dilaksanakan semula jika kes meningkat mendadak – Muhyiddin

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan terpaksa dilaksanakan semula sekiranya kes COVID-19 di dalam negara meningkat dengan mendadak.

Muhyiddin berkata jika PKP dilaksanakan semula, ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

“Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuatkuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini. Nauzubillah,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas berkaitan situasi semasa COVID-19 di dalam negara, malam ini.

Perutusan itu disiarkan secara langsung di beberapa rangkaian televisyen tempatan dan media sosial.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes baharu yang tinggi.

Justeru, Muhyiddin mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus berwaspada dan tidak leka terhadap peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian pelitup muka serta pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih berkuat kuasa agar penularan wabak COVID-19 dapat dikawal.

Muhyiddin memberi gambaran situasi pandemik COVID-19 secara global yang masih menular secara aktif tidak terkecuali terjadi di negara ini.

Katanya kes harian COVID-19 yang direkodkan di Malaysia adalah sekitar satu, dua dan adakalanya tiga digit tanpa pernah mencatatkan kes sifar dan memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.

“Berdasarkan dapatan yang diperolehi oleh para penyelidik dari seluruh dunia dan trend kes yang dilaporkan, jangkitan dijangka berterusan untuk suatu tempoh masa yang agak lama.

“Ini mengambil kira faktor pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 secara berkesan memerlukan rawatan spesifik dan vaksin yang efektif serta selamat untuk digunakan, Dengan situasi ini, sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 pada ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri meluah kebimbangan dengan situasi semasa COVID-19 di negara ini kerana terdapat peningkatan jumlah kes positif COVID-19 yang agak ketara sejak kebelakangan ini.

“Walaupun negara kita setakat ini telah berjaya menangani penularan wabak COVID-19 dengan baik, saya berasa agak bimbang kerana terdapat peningkatan jumlah kes positif COVID-19 yang agak ketara sejak kebelakangan ini. Sepanjang tempoh 14 hari yang lalu, sebanyak 615 kes baharu telah dicatatkan.

“Peningkatan ini turut menyaksikan tiga daerah yang merekodkan 41 kes atau lebih sepanjang tempoh 14 hari yang lepas. Daerah-daerah yang dikategorikan sebagai merah ini ialah Kota Setar di Kedah dan Tawau serta Lahad Datu di Sabah,” katanya.

Muhyiddin berkata sementara itu, jumlah keseluruhan pelawat dari luar negara yang dikesan positif COVID-19 sepanjang tempoh 3 April sehingga hari ini adalah seramai 1,017 orang.

Beliau seterusnya berkongsi data-data penting termasuk 1,395,578 individu telah disampel, menjadikan kadar ujian COVID-19 yang dijalankan di Malaysia adalah 41.8 orang bagi setiap 1,000 penduduk.

Beliau berkata secara keseluruhannya terdapat 108 kluster yang telah dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan daripada jumlah itu, 11 kluster masih aktif manakala baki 97 kluster telah diisytiharkan tamat.

“Sehingga kini, Kluster Seri Petaling yang telah diisytiharkan tamat pada 8 Julai 2020 merupakan kluster terbesar jangkitan COVID-19 di negara ini. Kluster ini telah merekodkan sejumlah 3,375 kes positif selepas seramai 42,023 individu disaring,” katanya. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)