COVID-19 – PKPD di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah

COVID-19 – PKPD di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah

KUALA LUMPUR, 30 Mac — Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah di sini, berkuat kuasa mulai 31 Mac hingga 13 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu dilaksanakan berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 17 kes positif jangkitan COVID-19 di menara berkenaan.

“Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan, telah memutuskan untuk melaksanakan arahan ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

“PKPD ini melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor, serta kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, tujuan PKPD itu dikuatkuasakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar, dan langkah itu akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit, dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Beliau menegaskan dengan pelaksanaan perintah itu, semua penghuni di menara berkenaan tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD itu, sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan. Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan di menara tersebut,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara berkenaan.

Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan PKPD itu. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup, katanya.

Bagi memastikan pematuhan terhadap perintah itu beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), akan mengawal seluruh kawasan berkenaan.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas dari KKM, serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata penghuni menara itu yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-2694 3243/ 03-4026 7222 atau 013-329 5141.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )