COVID-19: Remaja Dalam Kuarantin Puji Tahap Kecekapan Barisan Hadapan

COVID-19: Remaja Dalam Kuarantin Puji Tahap Kecekapan Barisan Hadapan

KUALA LUMPUR,. Lebih ramai warga Malaysia menzahirkan penghargaan atas usaha yang dilakukan negara dan petugas barisan hadapan dalam mengekang dan memerangi pandemik COVID-19.

Shacind Ananthan, pelajar tahun pertama jurusan Ekonomi di United Kingdom (UK), berkongsi dalam hantaran di Facebooknya mengenai perjalanan pulang dari UK dan berakhir di Impiana KLCC Hotel, tempat di mana beliau dan 73 lagi individu sedang dikuarantin.
“Semuanya bermula dalam penerbangan dari Doha ke KL, di mana saya telah transit dari Manchester. Dengan hanya 50 orang sahaja di dalam pesawat, kami semuanya dipisahkan dan duduk berasingan,” catat pelajar berusia 18 tahun itu pada 10 April.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 April, mereka disambut mesra oleh dua anggota berunifom yang sentiasa mengingatkan tentang jarakan sosial satu meter dan membawa mereka ke ‘sky train’.
“Suasana berulang yang anda dapati ialah di setiap pusat pemeriksaan, terdapat sekurang-kurangnya seorang atau dua pekerja yang melaksanakan tugas mereka dengan dedikasi dan segalanya berjalan dengan lancar. Seolah-olah prosedur ini dibuat secara teliti, telah berjalan bertahun-tahun,” kata Shacind yang berasal dari Johor.

Beliau berkata selepas melepasi kaunter Imigresen, seorang pegawai memberinya borang penilaian diri iaitu dia perlu memantau dan melaporkan simptomnya setiap hari.

“Keceriaan berterusan di wajahnya apabila memanggil saya sebagai ‘adik’ membuatkan saya rasa selamat,” catatnya dan menambah persoalan yang bermain dalam fikiran mereka ialah: “di manakah mereka akan dibawa?”

“Saya terdengar mereka berharap agar ditempatkan di hotel lima bintang di KL. Walau dalam situasi ‘sekarang’, rakyat Malaysia masih mengharapkan kemewahan dan keselesaan, bukan?.

“Anggota polis dengan sopan menjawab bahawa dia tidak pasti di mana kami akan ditempatkan untuk dikuarantin, tetapi memberi jaminan kami akan tetap mendapat tempat yang baik,” kata Shacind dan menambah beliau sangat kagum dengan kecekapan setiap pegawai.

“Saya masih tidak percaya, dan tertanya-tanya berapa banyak tenaga kerja dan logistik yang diperlukan untuk menjadikan proses ini berjalan lancar dan untuk mencapai tahap kecekapan sebegini.

“Sebelum kami turun dari bas, seorang lelaki beruniform, anggota PASKAU (Pasukan Khas TUDM) memberi taklimat kepada kami mengenai langkah seterusnya.

“Sebaik tiba di hotel, sekumpulan anggota dalam pakaian lengkap Hazmat berdiri di meja panjang untuk tujuan saringan dan pendaftaran,” katanya

Beliau menambah setiap bilik tempat mereka dikuarantin, disediakan dua kotak air botol, beg plastik untuk pakaian kotor dan beg besar dipenuhi kopi dan makanan ringan, serta turut disediakan makanan berkhasiat tiga kali sehari – semuanya percuma.

Pasukan kuarantin itu turut memasukkan mereka dalam grup WhatsApp, dan mereka tidak putus-putus dibanjiri pesanan berbaur harapan, optimistik dan penghargaan untuk petugas barisan hadapan yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka.

“Mengapa saya menulis perkara ini? Ini adalah akaun utama individu yang merasai sendiri pengalaman meninggalkan negara asing dalam tempoh yang singkat dengan masa depan yang tidak menentu.

“Ini adalah untuk menjelaskan cerita palsu dalam talian yang mahu memburuk-burukkan negara kita yang tercinta.

“Ia bukanlah keterangan yang keterlaluan apabila saya katakan Malaysia antara negara yang paling proaktif dalam menangani ancaman COVID-19.

“Oleh itu saya menyeru ‘armchair economists’ di rumah yang hanya pandai bercakap – pembantah berterusan – jika anda tidak dapat mengiktiraf kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan, sekurang-kurangnya janganlah jadi penghalang,” katanya.

Setakat ini, hantaran Facebooknya yang turut dilampirkan dengan beberapa gambar untuk menyokong catatannya, meraih lebih 12,000 tanda suka, 8,600 perkongsian dan ribuan komen.

“Terima kasih sekali lagi, Malaysia kerana menjaga keselamatan saya. Saya akan sentiasa bangga menjadi warganegara negara ini yang telah banyak berbakti kepada saya.

“Tanah tumpahnya darahku!” kata Shacind mengakhiri catatannya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)