
COVID-19: Sarawak catat dua kematian, kes harian tertinggi negeri dengan 229 kes – JPBN Sarawak
KUCHING, 22 Jan — Sarawak mencatat dua lagi kematian akibat COVID-19 hari ini selain merekodkan jumlah kes baharu harian tertinggi bagi negeri ini dengan 229 kes.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sibu terus menjadi penyumbang terbesar kes positif hari ini dengan 168 kes, diikuti Kuching (9), Kanowit (7), Sri Aman (7), Lubok Antu (7), Subis (2) dan Bintulu (1), menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 2,931 kes.
“Terdapat penambahan 112 kes melibatkan kluster Pasai di Sibu menjadikan jumlah keseluruhan kluster itu meningkat kepada 1,094 kes. Sejumlah 10,250 individu telah disaring, sebanyak 7,500 negatif dan 1,656 masih menunggu keputusan makmal,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata pertambahan dua kes kematian akibat COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan jangkitan virus itu di negeri tersebut meningkat kepada 24 kes.
Menurutnya, kes kematian ke-23 merupakan kes ke-2,775 melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 48 tahun yang dimasukkan ke Hospital Miri pada 19 Jan kerana mengalami kesukaran pernafasan.
Saringan COVID-19 dijalankan pada 20 Jan dan beliau didapati positif pada 21 Jan dan disahkan meninggal dunia pada hari sama (21 Jan), menurut Uggah.
“Kes kematian ke-24 pula merupakan kes ke-2,182 melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 66 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu pada 17 Jan kerana mengalami kesukaran pernafasan dan telah diintubasi pada hari yang sama.
“Beliau disahkan meninggal dunia pada 22 Jan. Saringan ujian COVID-19 yang dijalankan pada 17 Jan didapati positif pada hari yang sama. Kes adalah daripada kluster Pasai,” katanya.
Sementara itu, Uggah berkata JPBN hari ini memutuskan had maksimum 50 orang untuk menghadiri upacara pengkebumian manakala 30 orang dibenarkan di tapak pengebumian di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Beliau berkata di kawasan PKP pula, upacara dan semasa di tapak pengebumian, hanya keluarga terdekat dibenarkan dan garis panduan upacara pengebumian tersebut boleh didapati daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Sementara itu, mengulas mengenai situasi semasa penularan COVID-19 di Hospital Miri, Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing mengesahkan terdapat 20 kakitangan hospital itu yang telah disahkan positif COVID-19 dan majoritinya di unit kecemasan dan kemalangan hospital berkenaan.
“Apabila terdapat kes positif dalam kalangan kakitangan hospital, kita perlu melakukan kuarantin kepada mereka yang merupakan kontak rapat dan ketika ini hampir 200 petugas telah diarahkan untuk menjalani kuarantin,” katanya pada sidang media yang sama.
— BERNAMA