
COVID-19: Selangor teliti garis panduan keselamatan di pasar
SHAH ALAM, 12 Mei — Kerajaan Selangor akan meneliti semula garis panduan keselamatan jangkitan COVID-19 di pasar di negeri ini, memandangkan wujudnya risiko berkaitan penularan wabak itu di premis berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor hari ini, bagi melihat sama ada terdapat keperluan untuk menambah perincian dalam garis panduan yang disediakan kerajaan Persekutuan itu.
“Antara perkara dalam penelitian kita (berkaitan garis panduan keselamatan COVID-19) adalah pasar. Kita akan melihat apakah perlu menambah perincian dalam garis panduan tersebut, ataupun perlu mengetatkan penguatkuasaan.
“Kerajaan negeri bersikap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak, terutama mereka yang melaksanakan penguatkuasaan. Kita kena memahami realiti semasa berbanding memberikan arahan sembrono, tanpa usul periksa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Kasih Ramadan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di sini, hari ini.
Pada 10 Mei, kawasan pasar Jalan Othman di Petaling Jaya menjadi lokasi terbaharu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuat kuasa sehingga 23 Mei, susulan 26 kes positif COVID-19 dikesan di situ.
Sementara itu bagi sektor pembinaan, Amirudin berkata, semua syarikat berkaitan sekali lagi diingatkan supaya mematuhi arahan, untuk menyediakan Pelan Tindakan Keselamatan Kawalan Penularan Wabak COVID-19 yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT), sebelum beroperasi bagi mengelak wujudnya penularan jangkitan itu, dari lokasi terbabit.
Katanya, walaupun kes positif COVID-19 yang dikesan di tapak pembinaan di Setia Alam baru-baru ini, bukan berpunca akibat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, semua pihak harus memandang serius perkara tersebut, kerana sektor itu juga berpotensi menyebarkan jangkitan wabak berkenaan.
Pada masa sama beliau berkata, kerajaan negeri juga akan meneliti pembukaan kira-kira 10 peratus lagi sektor ekonomi yang masih tertangguh, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lepas.
“Sebelum ini (semasa pelaksanaan PKP), memang ada beberapa sektor ekonomi di negeri ini yang ditangguh pembukaannya sehingga hari ini.
“Namun, kita akan buat keputusan mengenainya selepas mesyuarat hari ini. Kita tak mahu tergesa-gesa membuat apa-apa keputusan, memandangkan lebih 90 peratus sektor ekonomi sudah mula beroperasi sejak 4 Mei lepas,” katanya.
— BERNAMA