COVID-19: UEM Edgenta sumbang peralatan, sistem maklumat penjagaan kesihatan

COVID-19: UEM Edgenta sumbang peralatan, sistem maklumat penjagaan kesihatan

KUALA LUMPUR,. UEM Edgenta Bhd menyokong usaha kerajaan Malaysia memerangi pandemik COVID-19 dengan berikrar memberi sumbangan peralatan serta sistem penjagaan kesihatan penting yang akan dipasang di hospital dan pusat kuarantin di seluruh negara.

Seiring dengan tumpuan terhadap kepakaran syarikat itu dalam peralatan bioperubatan dan teknologi penjagaan kesihatan, UEM Edgenta akan menderma 30 unit ventilator baharu dan sedang dalam proses mendapatkan 30 unit sistem pemantauan pesakit untuk Kementerian Kesihatan (KKM).

“Syarikat juga telah mengenal pasti ventilator mudah alih dan sistem pemantauan pesakit bagi memenuhi spesifikasi teknikal KKM bagi melancarkan penggunaan aset ini oleh petugas barisan hadapan. Peralatan ini dijangkakan dapat dihantar pada bulan ini.

“Selain peralatan bioperubatan penting itu, syarikat juga memberi sebuah sistem maklumat penjagaan kesihatan berasaskan pengkomputeran awan kepada KKM dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC). Sistem ini dapat menghubungkan kesemua hospital dan pusat kuarantin bagi membantu pengurusan sumber kritikal secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Sistem yang dibangunkan menerusi kerjasama Meridian Project Management Sdn. Bhd, boleh digunakan serta-merta kerana memanfaatkan Sistem Maklumat Bank Darah (BBIS) sedia ada yang kini digunakan di 22 pusat pemindahan termasuk Pusat Darah Nasional di seluruh negara.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican menyampaikan sumbangan itu kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu majlis di Putrajaya, semalam.

Bercakap pada majlis itu, Azmir berkata kerjasama syarikat itu dengan KKM yang telah lama terjalin menerusi penyediaan perkhidmatan sokongan hospital, turut membantu dari segi memberi gambaran jelas mengenai keperluan segera pada masa ini.

“Kami memberi sumbangan peralatan penting, termasuk ventilator dan sistem pemantauan pesakit bagi menyokong KKM dan CPRC meningkatkan keupayaan masing-masing.

“Selain itu, kami juga gembira dapat membekalkan KKM dan CPRC dengan satu sistem yang menghubungkan hospital dan pusat kuarantin dan membolehkan pemantauan masa nyata dan pentadbiran sumber secara cekap di serata negara,” katanya.

UEM Edgenta, menerusi anak syarikat milik penuhnya yang beroperasi di bawah Bahagian Sokongan Penjagaan Kesihatan syarikat, Edgenta Mediserve Sdn Bhd dan Edgenta UEMS Sdn Bhd, turut bekerjasama rapat dengan KKM di 32 hospital di Semenanjung Malaysia.

Ini membabitkan khidmat sokongan hospital tidak klinikal, termasuk pembersihan, sanitasi dan pembasmian kuman, cucian, pengurusan sisa klinikal yang merupakan antara fungsi kritikal hospital yang mengendalikan pesakit COVID -19.

Selain Malaysia, UEM Edgenta turut menguruskan hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan di Singapura, Taiwan dan India dengan memberi khidmat kritikal sama di barisan hadapan di lebih 300 kemudahan terbabit.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )