COVID-19: WHO beri amaran dunia dalam fasa baharu, berbahaya

COVID-19: WHO beri amaran dunia dalam fasa baharu, berbahaya

GENEVA,. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran pada Jumaat mengenai ‘fasa baharu dan berbahaya’ pandemik COVID-19 apabila orang ramai mula bosan dengan perintah berkurung dan kawalan pergerakan ketika virus itu semakin merebak.

Virus yang mula muncul di China pada Disember lalu kini telah membunuh lebih 454,000 penduduk dunia dan menjangkiti lebih 8.4 juta orang, meningkat di Amerika dan beberapa bahagian di Asia walaupun Eropah mula meredakan langkah-langkah kawalan.

Perintah berkurung bagi mengekang penularan penyakit itu melumpuhkan ekonomi, tetapi WHO terus mengingatkan pandemik itu masih menimbulkan ancaman besar kepada penduduk dunia.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa negara-negara dan rakyat untuk tetap berwaspada kerana jumlah kes yang dilaporkan kepada badan kesihatan PBB itu mencapai puncak baharu.

“Dunia berada dalam fasa baharu dan berbahaya. Ramai yang bosan berada di rumah … tetapi virus itu terus menular dengan cepat.

“Pandemik semakin meningkat. Lebih daripada 150,000 kes baharu COVID-19 dilaporkan kepada WHO semalam – yang paling banyak dalam satu hari setakat ini,” katanya pada sidang media maya.

Tedros berkata hampir separuh daripada kes itu dilaporkan dari Amerika, dengan sebilangan besar juga dilaporkan dari Asia Selatan dan Asia Barat.

Ketika ini usaha menghasilkan vaksin belum berjaya walaupun terdapat beberapa percubaan, sementara saintis menemui lebih banyak penemuan mengenai virus, gejala dan sejauh mana penyebarannya.

Penyelidik Itali menemui jejak genetik SARS-CoV-2 dalam sampel air sisa yang dikumpulkan di Milan dan Turin pada akhir tahun lalu, dan Bologna pada Januari, kata institut ISS.

Kes pertama disahkan di Itali selepas Februari.

Hasil penemuan itu ‘membantu memahami permulaan penularan virus di Itali, kata ISS.

Itali adalah negara Eropah pertama yang terkena virus dan yang pertama di dunia yang melakukan perintah berkurung di seluruh negara, pada awal Mac.

Banyak negara Eropah mengikutinya, dan kebanyakannya baru dibuka semula bulan ini selepas melaksanakan perintah berkurung yang melumpuhkan ekonomi negara.

Menghadapi kemelesetan terbesar dalam sejarah Kesatuan Eropah (EU), pemimpin negara-negara itu pada Jumaat mengadakan sidang kemuncak maya mengenai cadangan Suruhanjaya Eropah untuk menyediakan dana bernilai 750 bilion euro (RM3,577 bilion).

Namun, mereka gagal mencapai kesepakatan mengenai rancangan yang dilihat sebagai isyarat solidariti dan perpaduan utama bagi blok yang bermasalah. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)