COVID-19: WHO jangka kes cecah 10 juta minggu hadapan

COVID-19: WHO jangka kes cecah 10 juta minggu hadapan

GENEVA,. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan jumlah kes positif COVID-19 seluruh dunia akan mencecah 10 juta pada minggu hadapan.

Justeru, agensi kesihatan itu menggesa penyelidikan vaksin pandemik mesti diteruskan selain usaha rawatan terapi bagi mereka yang menderita akibat virus itu.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Grebeyesus berkata, mereka yang mengalami gejala parah COVID-19 memerlukan oksigen tambahan namun ketika ini permintaan melebihi daripada bekalan.

“Lebih daripada 9.1 juta kes COVID-19 telah dilaporkan kepada WHO dan lebih daripada 470,000 kematian. Pada bulan pertama wabak ini, kurang daripada 10,000 kes dilaporkan kepada WHO.

“Pada bulan lalu, hampir empat juta kes telah dilaporkan.

“Kami menjangkakan akan mencapai 10 juta kes dalam minggu depan. WHO menganggarkan bahawa pada kadar semasa sekitar 1 juta kes baru seminggu, dunia memerlukan sekitar 620,000 meter padu oksigen sehari iaitu sekitar 88,000 silinder besar.

“Bagaimanapun, banyak negara kini mengalami kesulitan dalam mendapatkan alatan oksigen. 80 peratus pasaran dimiliki oleh hanya beberapa syarikat dan permintaan kini melebihi bekalan,” katanya di Geneva pada Rabu.

WHO melaporkan banyak negara yang memerlukan alatan oksigen dan berada dalam keadaan sukar untuk mendapatkannya.

Agensi kesihatan itu kemudian mengumumkan dengan rakan sekutu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), alatan oksigen dan bekalan lain sedang diberikan kepada negara sangat memerlukan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)