COVID: 207 kes baharu kategori tiga, empat dan lima

KUALA LUMPUR, 29 Sept — Sebanyak 1.7 peratus atau 207 daripada 12,434 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, terdiri daripada individu dalam kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 12,227 kes atau 98.3 peratus pula terdiri daripada mereka dalam kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua atau bergejala ringan.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima memerlukan bantuan pernafasan. “Daripada jumlah kes baharu itu, lapan adalah kes import yang kesemuanya melibatkan warganegara manakala 12,426 kes pula melibatkan penularan dalam negara membabitkan 11,591 warganegara dan 835 rakyat asing.

“Sebanyak 17,000 kes sembuh hari ini dengan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini kini 2,037,099 iaitu 91.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata terdapat 979 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 871 yang disahkan positif COVID-19 manakala 108 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

“Sebanyak 565 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 378 yang disahkan positif COVID-19 manakala 187 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan,” katanya. Dr Noor Hisham juga memaklumkan 15 kluster baharu dikesan dengan sembilan daripadanya membabitkan penularan di tempat kerja manakala enam berkaitan penularan dalam komuniti.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) pada jangkaan mengikut kes harian semalam untuk seluruh negara ialah 0.88. “Putrajaya mencatatkan nilai 1.01 dan Terengganu 1.0 manakala kesemua negeri lain mencatatkan Rt di bawah 1.0,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan dalam laman Github dan laman sesawang COVIDNOW menerusi https://covidnow.moh.gov.my pada tengah malam ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )