COVID19: 30 kes baharu dilaporkan, paling rendah sejak PKP

COVID19: 30 kes baharu dilaporkan, paling rendah sejak PKP

PUTRAJAYA, 5 Mei — Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan kes positif COVID-19 terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac, dengan 30 kes dilapor sehingga 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara setakat ini ialah 6,383 kes.

Katanya selain itu, 83 pesakit COVID-19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 4,567 kes, iaitu 71.55 peratus daripada keseluruhan kes.

“ Daripada 30 kes baharu yang dilaporkan, tiada kes import dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 30 kes, iaitu sebanyak 21 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Katanya terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 106 kes.

“Kes kematian ke-106 (kes ke-830) merupakan lelaki warga tempatan berumur 47 tahun. Beliau telah dimasukkan ke hospital swasta mulai 15 Mac lepas, kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada keesokannya. Beliau disahkan meninggal dunia pada 5 Mei (hari ini), pukul 2.10 pagi,” katanya

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,710 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai 24 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lapan kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 180 jumlah kes positif COVID-19 dicatatkan kluster Pusat Bandar Utara dan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) melibatkan satu kes kematian.

“100 kes adalah dalam kawasan PKPD dan 80 kes telah dikesan di luar kawasan PKPD. Jumlah keseluruhan ini melibatkan peniaga dan bukan peniaga seperti ahli keluarga peniaga, pengunjung dan orang yang mempunyai kontak rapat dengan kluster ini,” jelasnya.

Beliau berkata kluster Pasar Borong Kuala Lumpur itu juga didapati berkaitan dengan kluster Perhimpunan di Seri Petaling, Kuala Lumpur yang kes indeks bagi kluster itu adalah seorang daripada peserta perhimpunan tersebut.

Tambahnya, daripada 80 kes dikesan di luar kawasan PKPD Pasar Borong Kuala Lumpur, 29 kes didapati melalui saringan yang telah dijalankan di empat pasar awam iaitu Pasar Besar Seremban dan Pasar Besar Bahau di Negeri Sembilan serta Pasar Besar Jalan Othman dan Pasar Taman Megah di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menegaskan peniaga atau pemborong yang ingin berniaga atau masuk ke Pasar Borong Kuala Lumpur perlu menjalani ujian dan mengemukakan keputusan ujian saringan COVID-19.

“Bagi mereka yang tidak bergejala dan tiada sampel diambil, mereka perlu memantau kesihatan diri dengan menggunakan Home Assessment Tool dan segera memaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran sekiranya mempunyai gejala,” katanya.

Bagi majikan dan pekerja pula, Dr Noor Hisham sekali lagi menegaskan agar mereka membiasakan dan mempraktikkan normal baharu dalam kehidupan dan cara kerja bagi memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat terus dibendung.

Katanya, ini adalah amat penting agar semua usaha yang telah dijalankan selama ini dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 adalah berkesan secara berterusan.

“Susulan penguatkuasaan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) peniaga, pengusaha dan majikan perlu patuh kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berdasarkan sektor masing-masing,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)