CSM-ACE: Platform untuk tangani isu keselamatan siber – Gobind
KUALA LUMPUR,. Siber Sekuriti Malaysia 2019 – Anugerah, Persidangan & Pameran (CSM-ACE) – yang dilancarkan hari ini dengan tema, “Pertahanan Siber” adalah sesuai bagi menangani pelbagai isu untuk melindungi maklumat sensitif dan mengawal aset.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata perhimpunan tahunan berprestij itu disertai pakar-pakar siber sekuriti, tokoh-tokoh industri, pelabur teknologi, akademia dan pegawai-pegawai kerajaan merupakan saluran terbaik bagi perkongsian maklumat dan pertukaran idea mengenai isu-isu berhubung dasar trend global, pembinaan kapasiti, ancaman siber dan juga kemajuan teknologi.
“Saya menjangka CSM-ACE akan terus menjadi platform yang menghubungkan orang-orang dari pelbagai organisasi merentasi sektor dan memperkukuh kolaborasi siber sekuriti bagi menghasilkan pertahanan siber.
“Saya harap acara ini menjadi papan Ioncatan bagi memupuk dan memperkongsi maklumat,” kata beliau dalam perutusan video yang ditayangkan pada majlis perasmian CSM-ACE ke-11. Acara itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Chuan Ou, di sini hari ini.
Turut hadir di majlis itu Pengerusi CyberSecurity Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Azumi Mohamed. Acara tersebut akan berakhir pada 27 Sept.
Gobind mengucapkan terima kasih kepada seluruh peserta kerana sokongan, dedikasi dan komitmen mereka yang tidak henti-henti dalam bekerja bersama demi menentukan ruang siber yang selamat kini dan pada masa depan.
Sementara itu, Tan dalam ucapannya berkata bagi memperkukuh siber sekuriti, Malaysia perlu memperkasa aspek kemanusiaan, proses dan teknologi dalam mengesan, mendiagnos dan menghalang operasi siber yang tidak dikehendaki.
Katanya, menurut Polis Malaysia, sejumlah 8,808 kes jenayah siber terdiri daripada love scam, e-Trade (pembelian atas talian) dan penipuan telekomunikasi direkodkan dalam tujuh bulan pertama 2019 melibatkan kerugian dianggarkan RM331 juta.
“Kita perlu menguatkan perlindungan eko-sistem siber bagi menghadapi ancaman siber yang terus meningkat pada masa hadapan. Kestabilan eko-sisterm siber negara akan banyak bergantung pada sekuriti siber dan keupayaan pertahanan yang cergas,” kata beliau.
CyberSecurity Malaysia hari ini memperkenalkan Coordinated Malware Eradication and Remediation Platform (CMERP), pengesanan malware automatik dan sistem amaran yang dibangunakn oleh kepakaran tempatan melalui kolaborasi awam-swasta.
CSM-ACE 2019 edisi ke-11 ini dijangka menarik lebih 5,000 profesional siber sekuriti tempatan dan antarabangsa, peneraju industri, pelabur teknologi, akademik dan pegawai kerajaan.
Selain persidangan dengan ucaptama dan sesi ahli panel, 12 program binaan dan latihan, terdapat 50 pempamer turut mempamer produk dan perkhidmatan ICT inovatif masing-masing.
Pada tahun ini terdapat lapan acara satelit yang menampilkan pelbagai bidang siber sekuriti termasuk pameran pekerjaan dua hari yang dibuka kepada orang ramai.
— BERNAMA