Cukupkah Pengeluaran RM500 Sebulan Simpanan KWSP?

Sejurus tamat pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen petang semalam, seorang teman bertindak memuat naik logo Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berserta gambar ‘roti Gardenia’ di media sosialnya.

Mungkin itu reaksi sinis terhadap pengumuman kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan KSWP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan bermula Januari depan.

Tekaan penulis, barangkali beliau atau sesiapa saja yang membuat poster melucukan itu, menganggap pengeluaran RM500 sebulan itu tidak mencukupi atau mungkin saja mempunyai maksud lain.

Jika difikirkan secara logik, pengeluaran RM500 sebulan caruman KWSP itu sekurang-kurangnya dapat meringankan kelompok terjejas akibat COVID-19, termasuk 800,000 individu yang dilaporkan hilang pekerjaan di Malaysia akibat pandemik global itu.

Sekurang-kurangnya, untuk tempoh 12 bulan, kelompok terbabit mempunyai RM500 aliran tunai bulanan.

Pun begitu, ada yang berpendapat pengeluaran caruman RM500 sebulan selama 12 bulan bagi 600,000 pencarum KWSP yang terjejas (bersasar) mungkin dilihat tidak memberikan impak yang diharapkan jika dibandingkan dengan kebenaran pengeluaran sekaligus RM6,000.

Cukupkah pengeluaran bulanan RM500 caruman KWSP? Adakah ia memberikan impak yang sewajarnya kepada golongan terjejas? Ini persoalan yang cuba penulis kupas dalam artikel ini.

BERI PILIHAN KELUARKAN SIMPANAN KWSP SECARA SEKALIGUS

Penulis bukan seorang pakar ekonomi tetapi kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan pengeluaran secara sekaligus RM6,000 sebagai pilihan kepada kelompok yang layak mendapat kemudahan pengeluaran simpanan dari Akaun 1 KWSP.

Dengan RM6,000, banyak yang boleh dilakukan termasuk berniaga secara kecil-kecilan dalam keadaan ekonomi negara yang merudum dan peluang pekerjaan yang terjejas akibat COVID-19.

Dengan RM6,000 banyak yang boleh dilakukan. Penulis mempunyai teman yang memulakan perniagaan menjual roti kukus dengan modal yang jauh lebih kurang untuk menampung keperluan keluarganya.

Wang yang sama boleh digunakan untuk mengurangkan beban hutang jangka pendek seperti kad kredit yang mempunyai kadar faedah tinggi.

Perniagaan seharusnya menjadi pilihan untuk seseorang individu memulakan hidup baru. Sekurang-kurangnya ini pilihan yang penulis mahukan jika turut ditakdirkan tergolong dalam kelompok terjejas itu.

Penulis kurang bersetuju dengan andaian kononnya kelompok terjejas mungkin tidak mampu menguruskan kewangan dengan baik, termasuk menggunakan aliran tunai kecemasan (pengeluaran simpanan KWSP) untuk tujuan tidak munasabah.

Mana mungkin seseorang yang dalam kedudukan terdesak menggunakan wang kecemasan itu untuk membeli Proton X50 yang baru berada di pasaran?

Hanya individu kurang cerdik akan mempersia-siakan bantuan ‘talian hayat’ yang diberikan itu.

BELANJAWAN BERSEJARAH UNTUK NEGARA, KWSP

Belanjawan 2021 bukan hanya mencatat sejarah tersendiri sebagai belanjawan terbesar dengan peruntukan RM322.5 bilion, termasuk RM236.5 bilion (73.3 peratus) akan disalurkan bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion atau 21.4 peratus bagi perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (5.3 peratus) bagi menangani gelombang ketiga pandemik itu.

Ia juga mencatat sejarah tersendiri apabila Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendengar keluh kesah rakyat yang terjejas dengan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1.

Pengeluaran simpanan KWSP bagi Akaun 1 ini juga membuktikan kematangan politik pihak kerajaan dan pembangkang memandangkan cadangan ini pada asalnya disuarakan oleh parti-parti politik dan disokong pertubuhan pekerja.

Akaun 1 yang meliputi 70 peratus daripada simpanan pencarum adalah untuk simpanan persaraan dengan simpanan Akaun 2 KWSP (30 peratus) dibenarkan bagi pengeluaran tertentu termasuk untuk pembiayaan kesihatan, pendidikan dan perumahan.

Dengan pengumuman pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata seramai 600,000 pencarum yang layak akan mendapat manfaat dengan anggaran bayaran RM4 bilion.

KWSP sebelum ini juga memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada April lalu yang membenarkan ahlinya membuat pengeluaran RM500 sebulan selama 12 bulan dengan 4.7 juta pencarum memanfaatkan kemudahan itu membabitkan pengeluaran keseluruhan RM11.6 bilion.

Harus kita ingat, penularan COVID-19 telah menjejaskan hasil kutipan kerajaan yang disemak semula kepada RM227.3 bilion iaitu pengurangan hampir RM18 bilion daripada unjuran asal RM244.5 bilion dalam Belanjawan 2020 yang diumumkan sebelum ini.

BIAYAI PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI TANGANI IMPAK COVID-19

Jumlah perbelanjaan keseluruhan 2020 dianggarkan sebanyak RM314.7 bilion iaitu meningkat RM17.7 bilion berbanding unjuran asal ekoran pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi.

Pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi ini bertujuan menangani impak pandemik COVID-19 yang setakat ini mencatatkan lebih 38,000 kes positif, termasuk 1,755 kes baharu semalam iaitu jumlah jangkitan harian tertinggi di Malaysia setakat ini.

COVID-19 yang belum mempunyai penawar (vaksin) juga telah membunuh 279 individu di Malaysia.

Penulis ada mendengar keluhan pihak tertentu yang mungkin berharap pengeluaran caruman KWSP Akaun 1 diperluaskan kepada 4.7 juta pencarum lain yang sebelum ini memohon pengeluaran i-Lestari dan tidak terhad kepada mereka yang hilang pekerjaan.

Walaupun KWSP dilaporkan mempunyai jumlah aset melebihi RM900 bilion, permintaan sebegitu tentunya membawa dilema kepada kedudukan kewangan kerajaan memandangkan KWSP juga antara penyumbang kepada pendapatan negara melalui keuntungan dan dividen daripada pelaburannya.

Keadaan ekonomi dunia yang terjejas akibat COVID-19 dengan harga minyak yang rendah tentunya akan menyukarkan lagi ekonomi kita secara keseluruhannya.

Sekalipun Belanjawan 2021 yang diumumkan semalam mungkin menimbulkan ralat kepada kelompok yang mengharapkan pengeluaran simpanan KSWP Akaun 1 dipeluaskan kepada 4.7 juta pencarum lain, belanjawan tertinggi dalam sejarah negara ini tidaklah mengecewakan.

LEBIH DARIPADA SEKADAR ROTI GARDENIA

Jaminan penyediaan 500,000 peluang pekerjaaan baharu melalui Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) melalui peruntukan RM3.7 bilion tentunya memberi nafas lega kepada kelompok yang hilang pekerjaan.

Kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta untuk program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan syarikat penerbangan iaitu antara industri yang terjejas teruk akibat larangan pergerakan dan penutupan sempadan negara.

Pun begitu, penulis merasakan pengumuman yang paling besar dan bersifat meliputi dalam Belanjawan 2021 adalah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang akan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan peruntukan keseluruhan RM6.5 bilion yang dijangka memanfaatkan 8.1 juta rakyat.

Bantuan tunai secara one-off antara RM500 hingga RM1,800 bagi setiap isi rumah yang layak itu akan meliputi kelompok B40 hingga M40.

Jika ada yang bertanya cukupkah pengeluaran simpanan KWSP RM500 sebulan itu, mungkin jawapannya adalah ‘cukup’ dengan mengambil kira semua peruntukan bersasar di bawah Belanjawan 2021.

Pun begitu, realiti sebenar hanya boleh diukur dan ditentukan kelompok yang benar-benar terjejas akibat COVID-19.

Apa yang pasti, bagi penulis, Ia lebih daripada sekadar sebuku roti Gardenia. Namun yang lebih penting adalah belanjawan dengan tema ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ itu diluluskan di Dewan Rakyat untuk manfaat semua dalam mendepani virus COVID-19 yang melanda dunia.

– BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan dalam liputan di zon konflik dan bencana. Beliau juga menulis tentang isu-isu antarabangsa dan semasa rakyat.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )