Dana 1MDB: Nazir akan temui SPRM

Dana 1MDB: Nazir akan temui SPRM

KUALA LUMPUR,. Bekas pengerusi CIMB Datuk Seri Nazir Tun Razak berkata beliau akan bertemu dengan pihak Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyelesaikan isu berhubung dakwaan wang dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipindahkan ke akaun miliknya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nazir mengakui bahawa beliau adalah seorang yang sering lantang dalam mengkritik 1MDB, dan idea bahawa ada dana yang mengalir ke akaunnya mungkin berpunca daripada 1MDB, baginya adalah sesuatu yang “amat menganggu jiwa”.

“Saya berhasrat untuk bertemu dengan SPRM bagi menyelesaikan perkara ini. Saya amat menghormati tugas-tugas yang dilaksanakan mereka bagi mengembalikan dana 1MDB, dan akan membantu mereka sebaik mungkin,” katanya.

Semalam media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1MDB, dengan Nazir didakwa menerima jumlah tertinggi, menjangkau RM25.7 juta.

Nazir, adik kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata beliau sebelum ini pernah mengesahkan bahawa abangnya itu memindahkan RM25.7 million ke satu akaun di bawah namanya (Nazir) pada 2013.

Beliau berkata dana itu kemudiannya diagihkan secara tunai sepenuhnya kepada wakil Najib, bagi apa yang difahamkan beliau sebagai untuk tujuan kempen pilihan raya.

“Tidak ada satu sen pun ditinggalkan, atau digunakan oleh saya,” kata Nazir dan menambah, beliau berbuat demikian dengan niat baik bagi mematuhi permintaan abangnya untuk membantu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13.

“Ketika itu saya dimaklumkan bahawa dana itu berasal dari pengumpulan dana politik yang sah, dan tidak ada sebab untuk saya untuk beranggapan sebaliknya,” katanya.

Nazir berkata apabila dakwaan mengenai hubungan antara 1MDB dan pemindahan dana Najib ditimbulkan media pada April 2016, beliau mengambil cuti secara sukarela dari jawatannya di CIMB bagi membolehkan Lembaga Kumpulan CIMB dan CIMB Bank menjalankan siasatan penuh mengenai apa yang berlaku.

“Mereka berbuat demikian dengan bantuan firma perakaunan serta firma guaman. Saya didapati ‘bersih’, dan dipelawa kembali ke lembaga,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)