DAP akan nilai, buat ‘post-mortem’ kekalahan

KUCHING,. DAP akan membuat penilaian dan ‘post mortem’ yang sewajarnya berhubung kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Padungan dengan majoriti selesa 1,198 undi, berkata parti itu akan meneruskan perjuangan politiknya ke arah menjadikan Sarawak dan rakyatnya lebih baik secara keseluruhan.

“Mengenai keputusan PRN Sarawak, kami menerima kekalahan ini serta keputusan rakyat Bumi Kenyalang.

“Bagaimanapun, saya memberi jaminan kepada rakyat Sarawak meskipun kalah, kami akan kekal di sini dan meneruskan perjuangan politik demi kehidupan rakyat yang lebih baik selain berjuang demi Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRN itu di sini malam tadi.

Beliau juga berkata parti itu akan bekerjasama dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di Padungan.

Pada pilihan raya itu, Chong menewaskan Wee yang merupakan calon Gabungan Parti Sarawak bagi kerusi Padungan.
“Kita mesti boleh menjalin kerjasama dengan mudah bagi memastikan ia adalah demi rakyat dan pendekatannya harus tepat.

“Jangan jadikan ini sebagai publisiti. Saya berpendapat kita di sini untuk berkhidmat dan jika rakyat telah memilih mereka untuk menjadi wakil mereka, kita perlu menghormati keputusan mereka,” kata Wee.

Chong memperoleh 4,686 undi manakala Wee mendapat 3,488 undi.

Dua calon lain yang bertanding bagi merebut kerusi itu, Raymond Thong Ee Yu daripada Parti Bumi Kenyalang dan Lina Soo daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak masing-masing memperoleh 930 undi dan 193 undi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )