Dari Segambut ke New York: Grab rai penyenaraian bersejarah

Dari Segambut ke New York: Grab rai penyenaraian bersejarah

KUALA LUMPUR,. Di bawah penanda simbol “GRAB”, peneraju superapp di Asia Tenggara, Grab Holdings Limited meraikan penyenaraian syarikat bersama warga kerja Grab, rakan-pemandu, penghantar dan peniaganya bersempena penganjuran sulung majlis deringan loceng pertama pembukaan Nasdaq di rantau ini.

Berlangsung di Singapura, majlis itu diadakan selepas syarikat pengangkutan dan penghantaran yang berusia sembilan tahun itu mengumumkan penggabungan dengan syarikat pengambilalihan tujuan khas (SPAC) bernilai US$40 bilion (kira-kira RM169.12 bilion).

Pada April lepas, syarikat itu telah bergabung dengan Altimeter Growth Corp, SPAC daripada Altimeter Capital Management dan meraih US$4.5 bilion, termasuk US$750 juta daripada Altimeter.

Dalam ucapan, Pengerusi Asia Pasifik Nasdaq Bob McCooey berkata ini merupakan penyenaraian awam Amerika Syarikat yang terbesar oleh sebuah syarikat Asia Tenggara.

“Saya telah melihat perkembangan Grab menjadi nama yang terunggul dan menjadi superapp nombor satu di Asia Tenggara.

“Setelah meluangkan beberapa hari di Singapura, saya telah mencuba menempah kereta, memesan makanan dan membuat pembayaran melalui GrabPay. Saya amat tertarik dengan pengalaman penggunaan aplikasi ini!

“Lebih penting, saya menghormati syarikat seperti Grab yang telah memperkasakan rakyat di serata Asia Tenggara dan saya gembira dapat bertemu dengan rakan pemandu dan rakan peniaga Grab di sini, dan mereka adalah contoh bagaimana teknologi boleh digunakan untuk mengembangkan perniagaan dan peluang memperoleh pendapatan,” katanya.

McCooey berkata pencapaian hari ini adalah bukti kerja keras warga kerja Grab dan pembuka semangat kepada semua untuk berinovasi dan merealisasikan agenda digitalisasi di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama Grab Anthony Tan berkata penting bagi syarikat pengangkutan dan penghantaran untuk tidak melupakan asas pembangunan syarikat ini.

“Malah, nadi dan usaha keras warga kerja Grab untuk menyediakan khidmat kepada rakan niaga kami dan sebagai pulangan, dedikasi mereka dalam memberikan khidmat kepada para pelanggan telah meletakkan Grab pada kedudukannya hari ini.

“Ini merupakan sebab mengapa kami menganjurkan majlis ini di tempat kami. Ia amat bermakna untuk berada di sini bersama-sama komuniti kami dan berkongsi saat ini bersama mereka, meraikan lembaran baharu perjalanan Grab,” katanya pada majlis itu.

Tan dan Pengasas Bersama Grab Tan Hooi Ling berada di pentas bersama wakil rakan-pemandu, penghantar dan komuniti peniaga Grab.

Mereka mewakili barisan hadapan yang telah membawa pelanggan, menyediakan dan menghantar makanan dan barangan penting, terutamanya semasa tempoh kawalan pergerakan yang kritikal bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.

Sebagai pengiktirafan usaha kolektif dan sokongan berterusan komuniti Grab sehingga merealisasikan pencapaian penting ini, kira-kira 1,500 warga kerja Grab serta wakil-wakil rakan Grab dari Asia Tenggara telah dipaparkan di Menara Nasdaq, Times Square, New York City, selepas Grab disenaraikan secara rasmi di Nasdaq.

Dari pejabat pertamanya yang berpangkalan di Segambut di sini, penyenaraian Grab di Nasdaq telah menetapkan penanda aras yang tinggi untuk syarikat permulaan di Asia Tenggara.

Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Rafiza Ghazali berkata sebagai agensi pendanaan milik kerajaan Malaysia yang telah menyokong Grab (dahulunya dikenali sebagai MyTEKSI) pada peringkat awalnya, pihaknya amat berbangga untuk menyaksikan Grab sebagai alumni pertama Cradle mencapai pentas global.

“Komitmen dan kejayaan keusahawanan Grab seharusnya dikongsi dengan pelbagai pihak. Perjalanan anda merupakan satu kisah yang memberikan ilham.

“Sebuah syarikat permulaan berasaskan teknologi Malaysia yang berkaliber tinggi telah berkembang teguh di peringkat antarabangsa. Kami percaya kejayaan anda akan memberi inspirasi kepada mereka untuk ‘Think BIG’ dan terus menjadi contoh yang baik kepada syarikat permulaan lain di Malaysia.

“Bekerjasama adalah permulaan, terus bersama adalah perkembangan dan usaha sama akan membawa kejayaan yang seterusnya.

“Kami gembira untuk terus mewujudkan dan membina sebuah ekosistem yang menyokong persekitaran pembentukan perniagaan yang inovatif dan teguh bagi usahawan teknologi dan pembawa pembaharuan, seiring dengan prinsip kami iaitu ‘Creating Leading Startups!’,” katanya.

Grab diasaskan pada 2012 dengan misi untuk memacu Asia Tenggara ke hadapan dengan mewujudkan pemerkasaan ekonomi untuk semua orang dan sejak itu, aplikasi pintar Grab telah dimuat turun ke dalam berjuta-juta peranti mudah alih.

Operasi Grab kini merentasi pelbagai bidang termasuk penghantaran, mobiliti dan perkhidmatan kewangan digital di lebih 400 bandar di lapan negara Asia Tenggara iaitu Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Aplikasi pintar Grab membolehkan jutaan orang mendapatkan khidmat rakan pemandu dan rakan peniaganya untuk memesan makanan atau barangan runcit, menghantar pakej, menaiki kereta atau teksi, membayar pembelian dalam talian atau memanfaatkan perkhidmatan seperti pinjaman, insurans, pengurusan kekayaan dan telemedicine, hanya melalui satu aplikasi pintar harian.

Saham Grab diniagakan antara US$8.13 dan US$13.29 pada hari pertama dagangan. Kaunternya ditutup tidak berubah pada US$8.75, turun 20.5 peratus dengan 35.71 juta saham bertukar tangan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)