
Darren Rahul tidak mahu ulang kesilapan sama di Filipina
KUALA LUMPUR,. Pemain skuasy negara, Darren Rahul Pragasam kini lebih matang untuk menghadapi tekanan di gelanggang pertandingan menjelang aksi di temasya Sukan SEA di Filipina, November ini.
Pemain berusia 20 tahun yang akan membuat penampilan kali kedua di temasya dwi tahunan itu tidak sabar untuk menampilkan aksi terbaiknya di Filipina nanti dan berharap dapat menebus kekalahan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu, terkandas di separuh akhir apabila tewas kepada pemain Filipina, Rafael Yam pada aksi yang lepas ekoran gagal mengawal tekanan dan menganggap kesilapan lalu sebagai pengajaran untuk dirinya.
“Ini merupakan penampilan saya yang kedua dalam Sukan SEA dan yang pertama tidak mengikut pelan. Kali ini saya pasti lebih fokus. Saya rasa saya lebih matang dan dengan bantuan rakan-rakan dalam pasukan, saya lebih fokus.
“Kami menyedari bahawa pasukan lain memang kuat tetapi kami berusaha keras. Jadi kami hanya perlu memberi tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan di gelanggang, saya fikir jika kami telah menampilkan yang terbaik, tiada yang mustahil,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tetap dengan pendirian untuk menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan tuan rumah nanti.
Selain pingat emas, SRAM juga menyasarkan tiga pingat perak dalam empat acara yang ditawarkan iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu campuran dan berpasukan campuran.
SRAM mengambil langkah drastik dengan menyenaraikan pemain pelapis yang terdiri daripada Addeen Idrakie, Ong Sai Hung, Darren dan Ryan Pasqual manakala skuad wanita pula dibarisi Rachel Arnold, Chan Yiwen, Lai Wen Li dan Ooi Kah Yan.
“Tidak ada sebab mengapa tiada pemain elit tetapi kami mencapai persetujuan dengan mereka bahawa kami biasanya tidak membawa pasukan teratas. Jika kami menghantar pasukan utama, orang lain tidak mahu sertai dan kemungkinan acara skuasy akan digugurkan dari Sukan SEA. Kita tidak mahu perkara itu (berlaku),” kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Subramaniam.
— BERNAMA