Darurat di Kazakhstan jejas operasi Reach Energy

Darurat di Kazakhstan jejas operasi Reach Energy

KUALA LUMPUR,. Reach Energy Bhd berkata, pengisytiharan darurat selama dua minggu di seluruh Kazakhstan mulai 5 Januari 2022, mungkin memberi kesan kepada syarikat dari segi kewangan dan operasi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat cari gali dan pengeluaran minyak dan gas itu berkata pengisytiharan itu akan menjejaskan anak syarikatnya, Emir-Oil LLP.

Keadaan darurat itu termasuk perintah berkurung, sekatan pergerakan, larangan perhimpunan besar-besaran dan gangguan internet.

“Syarikat itu tidak dapat memastikan kesan kewangan dan operasi penuh pada ketika ini disebabkan keadaan tidak menentu di Kazakhstan.
“Ahli lembaga akan membuat pengumuman selanjutnya mengenai impak kewangan dan operasi apabila terdapat perkembangan baharu mengenai perkara terbabit,” katanya.

Menurut laporan, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev mengisytiharkan darurat pada Rabu apabila penunjuk perasaan mengadakan bantahan terhadap kenaikan harga bahan api merebak ke seluruh negara.

Beliau berkata, ia adalah langkah yang perlu diambil.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This