Dasar 4IR Negara akan dilancar pada 1 Julai 2021 – UPE

Dasar 4IR Negara akan dilancar pada 1 Julai 2021 – UPE

KUALA LUMPUR,. Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara (Dasar 4IR Negara) yang merupakan dasar menyeluruh bagi memacu usaha bersepadu dalam mentransformasi pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi termaju 4IR akan dilancarkan pada 1 Julai, 2021.

Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Isnin berkata Dasar 4IR Negara bakal menyediakan prinsip panduan utama dan hala tuju strategik kepada kementerian dan agensi dalam penggubalan dasar dan pelan tindakan bagi mengoptimumkan pengagihan sumber dan penyelarasan pelaksanaan dalam perkara berkaitan teknologi baru muncul yang akan memanfaatkan rakyat, sektor swasta dan awam.

“Dasar ini menyokong dasar-dasar pembangunan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

“Ia juga melengkapi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dalam mendorong pembangunan ekonomi digital. Strategi dan inisiatif di bawah Dasar 4IR Negara akan diurus tadbir oleh Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Majlis pelancaran akan disiarkan menerusi laman www.4irnegara.gov.my serta Facebook dan YouTube Unit Perancang Ekonomi @EPUMalaysia dan MOSTI @officialmosti dan akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

“Melalui pelancaran Dasar 4IR Negara ini, kerajaan komited untuk menyokong penggunaan teknologi demi kebaikan – sosial, ekonomi dan alam sekitar.

“Kelangsungan inisiatif-inisiatif ini akan dapat merealisasi sepenuhnya transformasi pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi 4IR yang beretika,” kata UPE.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)