Dasar 4IR Negara pacu transformasi sosioekonomi menerusi teknologi termaju

KUALA LUMPUR,. Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (Dasar 4IR Negara) dilancarkan pada Khamis untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi berpacukan teknologi termaju 4IR dan pendigitalan.

Dasar ini digubal berpaksikan kemanusiaan supaya teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan, sosial dan warisan budaya, selaras matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama untuk mencapai kesejahteran rakyat dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, seimbang dan mampan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Dasar 4IR Negara mengandungi empat teras utama yang menyasarkan tiga kumpulan utama iaitu masyarakat, perniagaan dan kerajaan.

Beliau berkata, teras tersebut ialah melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR; membentuk negara yang mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital; menyediakan peraturan sesuai keperluan masa dan fleksibel dengan perubahan teknologi serta mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR.

“Kesemua teras ini akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi dalam merangka program berkaitan 4IR dan akan dilaksanakan berpandukan 16 strategi, 32 inisiatif nasional dan 60 inisiatif sektoral yang telah dikenal pasti.

“Bagi mengurangkan potensi risiko berkaitan sosial yang wujud daripada 4IR, elemen kepercayaan, inklusiviti, keselamatan siber, etika dan nilai akan diterapkan dalam semua inisiatif,” katanya semasa berucap melancarkan Dasar 4IR Negara secara maya, bersama-sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin.

Mustapa berkata, melalui dasar tersebut, Indeks Kesejahteran Rakyat Malaysia (MyWI) disasarkan meningkat kepada 136.5 pada 203 daripada 124.4 yang direkodkan pada 2018.

Beliau berkata, Malaysia juga disasarkan berada pada kedudukan 20 teratas dalam Indeks Inovasi Global pada 2030 serta mencapai peningkatan 30 peratus produktiviti dalam semua sektor berbanding prestasi pada 2020.

“Menerusi Dasar 4IR Negara, rakyat, perniagaan dan kerajaan, dapat memanfaatkan peluang pertumbuhan dan menangani risiko yang wujud daripada 4IR,” katanya.

Beliau berkata, kemunculan teknologi baharu seperti robotik, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) telah mengubah cara dunia beroperasi.

“Teknologi 4IR juga telah membantu usaha memerangi pandemik COVID-19 di seluruh dunia,” katanya.

Berdasarkan Unit Perancang Ekonomi, Dasar 4IR Negara merupakan dasar negara yang menyeluruh bagi memacu usaha bersepadu dalam mentransformasikan pembangunan sosioekonomi melalui penggunaan teknologi termaju 4IR.

Sementara itu, Khairy berkata berbanding revolusi sebelumnya, 4IR tidak hanya mengenai mesin, teknologi dan sesebuah sistem, malah meliputi gabungan fizikal, digital dan biologi yang membuka peluang kepada kerajaan, perniagaan dan rakyat memanfaatkan kemajuan teknologi bagi memastikan negara kekal berdaya saing.

Beliau berkata bagi mencapainya, kerajaan telah mengenal pasti lima teknologi teras untuk membina keupayaan tempatan iaitu AI, IoT, ‘blockchain’ dan teknologi lejar teragih, bahan termaju dan disokong pengkomputeran awan dan analisis data raya.

“Seperti yang kita lihat hari ini, kesemua teknologi teras ini sememangnya telah memberi kesan kepada kehidupan seharian dan cara kita melakukan sesuatu perkara, selain membantu manusia dari segi perancangan, pelaksanaan mahupun dalam membuat keputusan,” katanya.

Dalam usaha memastikan pembangunan teknologi berfungsi sebagai pemboleh daya transformasi 4IR, MOSTI juga sedang membangunkan pelan hala tuju pembangunan teknologi elektrik dan elektronik, vaksin, ‘blockchain’, ekonomi hidrogen, teknologi nano, AI, robotik, bahan termaju serta penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan, inovasi dan ekonomi.

Khairy mencadangkan pendekatan ‘future by design’ diterapkan untuk meningkatkan kadar penggunaan teknologi 4IR, seperti ‘venture builder’ digunakan dengan pembangunan ekosistem yang kondusif dan inklusif merangkumi rantaian bekalan dan nilai bagi membolehkan pihak industri mencipta produk bernilai tinggi sesuai kehendak pasaran tempatan dan global.

‘Venture builder’ merujuk kepada organisasi atau syarikat yang dikhususkan untuk mewujudkan syarikat baharu atau pemula niaga secara sistematik, yang mereka akan bantu untuk berkembang dan berjaya.

Beliau mengakui walaupun Malaysia bukan negara paling ke hadapan dalam penerimagunaan teknologi, namun Malaysia juga bukan negara yang ketinggalan, katanya.

Sebagai rekod, sejak 1999 Malaysia menerajui penyelidikan genetik bio molekul Virus Nipah 9 yang menjadi rujukan dunia; menjadi antara pemain utama dunia dalam pembuatan cip semikonduktor; dan kini berada di tangga ketiga dunia sebagai hab tenaga solar dan teknologi hijau, katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )