Dasar kerajaan beri keunggulan komparatif kepada negara

Dasar kerajaan beri keunggulan komparatif kepada negara

KUALA LUMPUR,. Pengenalan beberapa dasar baharu oleh Kerajaan Perpaduan bakal memberikan keunggulan komparatif kepada Malaysia untuk menarik kemasukan pelabur asing, sekali gus menangani impak ketidaktentuan ekonomi global pada 2024.

Antara dasar yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh setahun mengemudi negara adalah Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 dan Fasa 2, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12)

Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah Prof Madya Dr Firdausi Suffian berkata pengenalan dasar yang jelas itu akan dapat menstruktur semula ekonomi negara dan melonjak rantaian bekalan pasca pandemik COVID-19.

“Sebagai contoh menerusi Ekonomi MADANI, kita nampak bahawa kerajaan ingin melonjakkan rantaian pengeluaran yang memfokuskan kepada pengeluaran yang mempunyai nilai tambah yang kompleks bagi menyakinkan negara serta pelabur asing terhadap kesungguhan kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Firdausi bercakap demikian dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Cabaran Ekonomi 2024’ terbitan Bernama TV.

Beliau berkata 2024 merupakan tahun pelaksanaan bagi kerajaan walaupun akan menghadapi tempoh mencabar yang diasak oleh faktor-faktor seperti ketegangan geopolitik berlanjutan, pengetatan dasar monetari bagi menangani inflasi serta peningkatan risiko kelembapan ekonomi di serata dunia.

“Malaysia adalah negara yang terbuka kepada perdagangan, oleh itu kita secara tidak langsung dipengaruhi oleh faktor-faktor luar yang akan mempengaruhi kedudukan ekonomi, prestasi ringgit dan perdagangan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Anwar telah menegaskan bahawa struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai serta asas kukuh yang dibina selama ini, telah meningkatkan daya tahan ekonomi serta meletakkan negara di landasan pertumbuhan yang stabil.

Perdana Menteri berkata faktor-faktor positif berkenaan yang disokong oleh dasar dan pelan tindakan kukuh bertunjangkan kerangka Ekonomi MADANI serta pelaksanaan berterusan langkah-langkah dan inisiatif pragmatik yang ditetapkan oleh kerajaan, akan memastikan ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan.

“Walaupun sektor luaran kekal penting, pertumbuhan kini semakin didorong oleh permintaan domestik,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada Oktober lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)