Data DNA bantu polis tangkap suspek kes rogol 12 tahun lalu

Data DNA bantu polis tangkap suspek kes rogol 12 tahun lalu

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki semalam bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan di sebuah bengkel di Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang, yang berlaku 12 tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata suspek berumur 40 tahun itu ditahan pada 3.30 petang di sebuah ladang ternakan kambing di Balik Pulau.

Beliau berkata berdasarkan data Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang diambil di lokasi kes rogol 12 tahun lepas, polis telah mengesan identiti suspek.

“Sehubungan itu, satu operasi dilancarkan serta-merta untuk mengesan suspek dan suspek berjaya ditahan serta direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Pulau Pinang selama enam hari hingga Rabu depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Polis tidak pernah berputus asa dalam usaha mendapatkan maklumat perkembangan kes sehingga berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abd Jalil berkata polis sedang melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan.

-BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)