Dayang Nurfaizah Angkat Lagu Melayu Klasik Di Peringkat Antarabangsa Dalam ‘Belagu II’

Dayang Nurfaizah Angkat Lagu Melayu Klasik Di Peringkat Antarabangsa Dalam ‘Belagu II’

Belagu II adalah kesinambungan dari album Belagu yang dilancarkan awal tahun 2021 yang lalu tetapi kali ini diiringi Budapest Scoring Orchestra.

Masih lagi mahu terus mengangkat lagu Melayu klasik dalam kalangan generasi muda, penyanyi Dayang Nurfaizah kembali dengan sebuah album studio baru, ‘Belagu II’ yang merupakan kesinambungan kepada album studio terdahulu, ‘Belagu’.

“Belagu II adalah kesinambungan dari album Belagu yang dilancarkan awal tahun 2021 yang lalu. Tujuannya sama, tapi bagi album kedua ini, Dayang mahu meraikan lebih banyak lagu memandangkan kesemuanya sangat indah dan boleh dipertontonkan.

“Kini, dengan kolaborasi bersama Budapest Scoring Orchestra, Dayang berharap ia dapat menjangkau lebih ramai pencinta muzik antarabangsa,” katanya. Menurut Dayang lagi, dia berharap semua peminat akan dapat menghargai album ini dan menerima mesej yang ingin disampaikan.

“Apa yang lebih penting juga, Dayang mahu mengharapkan generasi muda akan dapat mengenali dan menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita.

“Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun ia akan berkubur begitu sahaja. Dayang anggap penghasilan album ini bukan saja satu penghargaan kepada orang-orang lama tapi juga sebagai satu tanggungjawab sebagai anak seni.

“Dengan adanya ‘Belagu II’, ia diharap akan dapat mengingatkan kita semua untuk meraikan lagu-lagu klasik Melayu warisan kita demi generasi masa hari ini dan akan datang,” kata penyanyi yang berasal dari Sarawak ini.

Album Belagu II memuatkan lapan lagu-lagu Melayu Klasik lama yang diiringi Budapest Scoring Orchestra bersama pemuzik handalan Malaysia seperti ‘Nak Dara Rindu’, ‘Jauh Di Mata’, ‘Ketipang Payung’, ‘Sejak Ku Bertemu Padamu’. Bahkan, ia turut memuatkan sebuah lagu baharu berjudul ‘Rindu Menyapa’.

Ia sekali lagi disusun dan diterbitkan oleh penerbit, pengarah muzik dan komposer yang tidak asing lagi, Aubrey Suwito.

‘Belagu II’ juga akan dilancarkan di semua platform digital bermula 27 Januari 2023 dan para peminat sudah boleh membuat pra-tempahan/pra-simpanan/pra-tambah untuk album fizikal.

Apa yang menarik tentang fizikal album ‘Belagu II’, ia turut memuatkan gambar-gambar kulit album dam gambar-gambar sewaktu Dayang merakamkan lagu bersama Budapest Scoring Orchestra di Budapest pada tahun lalu. Bahkan, gambar-gambar menarik Dayang sepanjang berada di Budapest turut diselitkan sama.

– Getaran, 17 Januari 2023

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)