DBP sokong hari Jumaat sebagai Hari Jawi

DBP sokong hari Jumaat sebagai Hari Jawi

KUALA LUMPUR,. Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) menyokong penuh keputusan kerajaan, menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi, kata Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Prof Datuk Dr. Awang Sariyan.

Katanya keputusan kerajaan itu memberikan ruang untuk tulisan Jawi, diletakkan pada martabatnya yang sah sebagai tulisan bahasa Melayu selama hampir seribu tahun, sebelum tulisan Rumi diterima sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan.

Awang Sariyan berkata, dalam zaman Kesultanan Melayu selama ratusan tahun, tulisan Jawi menjadi tulisan bagi semua bidang, seperti agama, undang-undang, ketatanegaraan, sejarah, perubatan, persenjataan, hikayat dan susastera (prosa dan puisi), malahan dalam bidang diplomasi.

“Surat dan perjanjian antara kerajaan di Alam Melayu dengan kuasa asing seperti Belanda, Portugal, Sepanyol dan Inggeris, ditulis dengan Jawi. Tulisan Jawi dan bahasa Melayu diterima oleh semua bangsa, hatta semasa penjajahan Inggeris. Oleh itu, tiada asas untuk mana-mana pihak yang mewakili kaum tertentu, untuk menolak usaha mengembangkan tulisan Jawi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata, sebagai usaha awal untuk memasyarakatkannya, tulisan Jawi perlu digunakan untuk peragaan maklumat di tempat awam, premis perniagaan dan pejabat, serta dokumen di samping tulisan Rumi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataannya, mengumumkan hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ bermula hari ini, dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan, yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.

Katanya, tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )